ALOR GAJAH: Masjid Tanah tidak boleh dianggap sebagai deposit atau kerusi disandang Perikatan Nasional (PN) kerana pada hakikatnya gabungan itu tidak pernah memenangi Parlimen berkenaan dalam mana-mana pilihan raya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Masjid Tanah, Abdul Hakim Abdul Wahid menegaskan, kemenangan penyandang, Datuk Mas Ermieyati Samsudin di situ pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) adalah atas tiket BN serta disokong jentera parti kawasan berkenaan.

Beliau berkata, keputusan PRU15 kelak mungkin tidak lagi memihak kepada bekas Ketua Puteri UMNO itu berdasarkan kejayaan BN menyapu bersih lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Masjid Tanah, yang mana menyaksikan Mas Ermieyati turut kecundang di DUN Tanjung Bidara.

“Saya tidak menganggap Masjid Tanah sebagai kawasan pembangkang, sebaliknya tetap milik BN meskipun ‘bertukar tangan’ selepas PRU14.

“Saya tidak nampak ini kawasan pembangkang kerana pada hakikatnya ini adalah kerusi BN. Cuma seperti apa yang saya sebutkan tadi, kita kena berusaha dan akhir sekali tawakal kepada Allah,” katanya ketika ditemui.

Parlimen Masjid Tanah menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan Abdul Hakim dengan Mas Ermieyati bersama calon Gerakan Tanah Air (GTA), Handrawirawan Abu Bakar serta calon Pakatan Harapan (PH) daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Mutalib Uthman.

Tambah Abdul Hakim yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Melaka, meskipun optimis memenangi kerusi berkenaan selepas mengambil kira keputusan PRN Melaka, namun beliau tidak memandang mudah cabaran diberikan tiga calon lain kerana masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.

Jelas beliau, keyakinan itu juga bersandarkan kepada maklum balas positif pengundi-pengundi muda yang akan bersama menyokong BN.

“Saya yakin dengan izin Allah pada 19 November ini BN akan memenangi kerusi Masjid Tanah setelah mengambil kira keputusan PRN lepas dan ditambah pula sokongan anak-anak muda kepada parti.
“Saya merupakan calon tempatan dan pernah berkhidmat sebagai Penyelia Kanan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas). Justeru, saya tahu beberapa perkara yang perlu diuruskan terutama dalam pengurusan masyarakat di Masjid Tanah,” katanya. – UTUSAN

The post Masjid Tanah bukan milik PN appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *