IPOH: Mayat lelaki warga emas dipercayai gelandangan ditemukan dengan kesan luka di dagu di tepi tangga dekat kaki lima kedai di Jalan Leong Sim Nam di sini pagi tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, maklumat kes itu diterima daripada orang awam pada pukul 5.22 pagi yang memaklumkan terdapat seorang lelaki terbaring tidak sedarkan diri.

Katanya, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pakar klinikal Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di lokasi kejadian.

“Pemeriksaan awal ke atas tubuh lelaki itu mendapati terdapat kesan luka pada dagu disebabkan senjata tajam dan calar pada kedua-dua tangan.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HRPB untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, susulan kes tersebut, pihak polis berjaya membuat tangkapan ke atas seorang lelaki berusia 51 tahun dipercayai suspek kes berkenaan.

Katanya, lelaki itu ditahan berhampiran Jalan Sultan Idris Shah pada pukul 6.50 pagi.

“Dengan tertangkapnya suspek, kita berjaya menyelesaikan kes bunuh ini dalam tempoh dua jam selepas dilaporkan.

“Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Sabtu depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. – UTUSAN

The post Mayat gelandangan dijumpai dengan kesan kecederaan di dagu appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *