KOTA BHARU: Mayat seorang lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjun ke dalam Sungai Pengkalan Datu dari Jambatan Pok Nik Loh, Jalan Kampung Hujung Tanjung di sini hari ini ditemukan petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Kelantan, Zainal Madasin berkata, mayat mangsa yang berusia 38 tahun ditemukan sejauh empat kilometer dari jambatan itu kira-kira pukul 2.40 petang.

Menurutnya, bomba menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu sebelum 25 orang anggota dari Balai Bomba Pengkalan Chepa, Pasir Tumboh dan Pengkalan Kubor bergegas ke lokasi kejadian.

“Kita turut menghantar Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Pengkalan Chepa yang turut dibantu PPDA Pengkalan Kubor.

“Mangsa kemudian ditemukan pada jarak empat kilometer dari Jambatan Pok Nik Loh. Anggota bomba menyerahkan mayat mangsa kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat JBPM Kelantan, Tunjong di sini hari ini. 

Sementara itu, isteri mangsa, Siti Najwa Kamarudin, 28, ketika dihubungi berkata, dia bersyukur mayat suaminya ditemukan.

“Meskipun sedih dengan kejadian itu, dia tetap reda dan perlu kuat demi anak-anak. Saya berharap jenazah suami dapat diuruskan segera dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Dusun Durian, Panchor dekat sini,” jelasnya. – UTUSAN

The post Mayat lelaki terjun Sungai Pengkalan Datu ditemukan sejauh 4km appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *