AMPANG: Mayat lelaki dalam keadaan tangan dan kaki diikat serta mempunyai kesan cedera di kepala yang ditemukan di tepi Jalan Bestari Jaya – Rawang menghala ke Bestari Jaya, dekat Rawang, pada 30 Disember lalu, dipercayai warga asing. 

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk S.Sasikala Devi berkata, pihaknya sudah menyemak identiti mangsa melalui rekod cap Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) namun tiada sebarang rekod ditemukan.

 “Malah, pemeriksaan dilakukan mendapati tiada tanda suntikan imunisasi BCG (Bacillus Calmette Guerin) dan tatu pada mangsa. 

 “Kita masih menunggu semakan daripada pihak imigresen berhubung mangsa berkenaan,” pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di sini hari ini. 

Menurut Sasikala, hasil bedah siasat dilakukan mendapati punca kematian mangsa disebabkan parah di kepala dipercayai akibat dipukul menggunakan objek tumpul. 

 “Orang ramai mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat kes Asisten Superintenden R. Kolanthaivelubdi di talian 03-61262222 atau 019-2579232 bagi membantu siasatan. 

  “Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan mayat lelaki dalam keadaan tangan dan kaki diikat serta mempunyai kesan cedera di kepala ditemui di tepi Jalan Bestari Jaya-Rawang menghala ke Bestari Jaya, dekat Rawang, pada 30 Disember lalu. 

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed dipetik berkata, mayat yang belum dikenal pasti itu ditemukan seorang lelaki tempatan yang melaporkan kejadian itu di Balai Polis Rawang pada 11.40 pagi, 30 Disember lalu. – UTUSAN

The post Mayat terikat tangan, kaki dipercayai warga asing appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *