ARAU : Suasana malam yang sepi di Pekan Lama Arau bertukar meriah dengan kehadiran ribuan orang khususnya dalam kalangan masyarakat Cina yang menghadiri Karnival Tahun Baharu Cina di sini malam tadi.

Lebih istimewa, karnival yang berlangsung tiga hari berakhir malam ini diserikan dengan kehadiran Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli yang turut merasmikan karnival berkenaan.

Hadir sama memeriahkan karnival berkenaan, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim; barisan Exco kerajaan negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini.

Mohd. Shukri bersama ribuan masyarakat Cina dalam suasana penuh harmoni itu turut disajikan dengan persembahan tarian singa tiang tinggi yang cukup memukau selain beberapa lagi persembahan kesenian dan kebudayaan kaum Tionghoa itu.

Pelbagai aktiviti dan persembahan menarik disediakan dalam karnival berkenaan seperti persembahan gendang 24 musim, wu shu, tarian baba dan nyonya, tarian tradisi, pertunjukan bunga api dan banyak lagi.

ORANG ramai menyaksikan persembahan tarian singa tiang tinggi sempena Karnival Tahun Baharu Cina di Pekan Lama Arau, Perlis malam tadi.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN

Mohd. Shukri dalam ucapannya berkata, kerajaan negeri di bawah Perikatan Nasional (PN) tidak akan sama sekali mengabaikan kaum Cina dan juga kaum-kaum lain.

Katanya, semua kaum di negeri ini adalah rakyat Perlis yang dikasihi.

“Sebanyak 7.4 peratus daripada rakyat di negeri ini adalah berbangsa Cina yang menjadikan kaum kedua terbesar. Kepelbagaian bangsa ini merupakan satu kurniaan Allah SWT buat kita semua menikmati warna-warni kehidupan.

“Meskipun kaum Melayu adalah majoriti di Perlis namun semua kaum dapat menikmati hidup dalam keadaan aman dan damai.

“Di kesempatan perayaan Tahun Baharu Cina Ahad ini, saya mengharapkan semoga tahun arnab yang diraikan kali ini membawa kemakmuran dan kebahagian kepada masyarakat Tionghoa di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina negeri, Koay Chee Khoon berkata, karnival tersebut diadakan bagi mengeratkan perpaduan dan silaturahim antara warga Perlis dan memberi peluang kepada rakyat untuk memahami budaya kaum Cina.

“Penganjuran karnival ini juga seiring dengan inisiatif Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil untuk mengindahkan Pekan Lama Arau.

“Karnival ini juga tidak akan berjaya tanpa kerjasama daripada semua pihak termasuk Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Jabatan Kerja Raya (JKR) Tenaga Nasional Berhad (TNB), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), penaja dan perniaga di pekan lama Arau

“Diharap dengan pelestarian warisan budaya bangsa tersebut, kebanggaan nasional dapat dipupuk dan jati diri bangsa dapat diperkukuhkan,” katanya.-UTUSAN

The post MB bersama ribuan masyarakat Cina hadir memeriahkan Karnival Tahun Baharu Cina appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *