JOHOR BAHRU: Premis perniagaan yang bertindak ‘cop’ tempat letak kereta atau parkir berkupon untuk kegunaan peribadi menggunakan kerusi, baldi, alat pemadam api atau apa-apa sahaja barangan boleh dikenakan kompaun sebanyak RM500.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Norazam Osman berkata, pengguna yang berdepan situasi berkenaan boleh membuat aduan secara terus kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) kerana tindakan tersebut merupakan suatu kesalahan.

“Kita (MBJB) akui, memang ada segelintir premis seperti kedai urut, refleksologi, aksesori kereta dan restoran yang berbuat demikian dan itu memang satu kesalahan, apatah lagi dalam tempoh waktu berkupon.

“Sepatutnya semua premis yang hendak menempah petak parkir boleh mohon daripada MBJB dengan bayaran RM150 sebulan dan boleh mohon sepanjang tempoh tiga bulan, tetapi tidak ramai yang buat macam itu.

“Jadi, orang ramai yang berdepan situasi sedemikian boleh buat aduan terus dan pihak terlibat boleh dikenakan kompaun sebanyak RM500 bagi satu kesalahan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB di Menara MBJB, di sini hari ini.

Mohd. Noorazam berkata, aduan boleh dibuat dengan menghubungi talian Hotline MBJB, iaitu 1-300-88-0146 atau menerusi aplikasi WhatsApp ke 019-7788212 dan kompaun diambil mengikut Seksyen 46 Akta 133 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

“Walaupun tindakan penguatkuasaan dan teguran telah dibuat sebelum ini, tidak dinafikan masih ramai peniaga degil dan melakukan kesalahan sama. Kita bimbang ini boleh menimbulkan pertikaian antara pemilik premis dan orang awam.

“Sehubungan itu, kita akan meningkatkan rondaan dan juga membuat operasi bersepadu dengan agensi berkaitan untuk menangani masalah ini daripada terus berlarutan. 

Dalam pada itu, Noorazam memaklumkan, MBJB  menerima sebanyak 18,038 aduan daripada orang ramai sepanjang tahun lalu.

Kebanyakan aduan itu melibatkan pokok tumbang, lampu jalan rosak dan persekitaran kotor yang dihantar menerusi beberapa kaedah termasuk Facebook, WhatsApp, panggilan telefon, e-mel, ahli majlis serta Sistem Pengurusan Aduan Awam (SPAA).

Mengenai misi tahun baharu,  Mohd. Noorazam memberitahu, MBJB akan berusaha lebih bagi mengatasi masalah kesesakan termasuk kenderaan yang diletak di tempat tidak dibenarkan di kawasan tumpuan.

“Kita akan cuba tambah baik prosedur penguatkuasaan sebelum tindakan menarik kenderaan dibuat. Antara perancangan adalah dengan memasang siren atau menggunakan pembesar suara untuk memaklumkan pemilik kenderaan.

“Kita akan berikan tempoh beberapa minit kepada pemilik untuk mengalihkan kenderaan mereka, jika masih berdegil baharu tindakan tarik kereta akan dibuat,” tegasnya. – UTUSAN

The post MBJB gempur premis ‘cop’ parkir, kompaun RM500 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *