KUALA LUMPUR: Filem animasi arahan Nizam Abd Razak, Mechamato Movie terbitan Animonsta Studios (Monsta) dan Astro Shaw berjaya memecah rekod kutipan pecah panggung bagi filem animasi tempatan.

Mechamato Movie meraih tempat pertama dalam carta kutipan tertinggi filem animasi tempatan apabila mengumpul RM30.75 juta selepas 22 hari tayangan.

Filem tersebut juga berjaya memintas kutipan produksi animasi Hollywood di negara ini seperti Minions 2: The Rise of Gru (2022), Big Hero 6, Incredibles 2, Kung Fu Panda 2 dan How to Train Your Dragon: The Hidden World.

Berdasarkan pencapaian cemerlang itu, Mechamato Movie dilihat mempunyai peluang cerah untuk mengatasi kutipan tertinggi bagi filem animasi yang diraih Frozen 2 pada 2019.

Mengulas pencapaian itu, Ketua Penjenamaan dan Pemasaran Monsta, Faiz Zainal Abidin berkata, pihaknya berterima kasih terhadap sambutan luar biasa penonton sehingga menjadikan Mechamato Movie sebagai antara filem animasi terlaris di pasaran.

“Sokongan penonton dan pengusaha pawagam terhadap Mechamato Movie berjaya mengangkat filem ini untuk menjadi antara produksi animasi terlaris di negara ini.

“Kejayaan ini memberikan petanda positif penonton tidak lagi ragu-ragu memberikan sokongan kepada karya seni anak tempatan,”katanya.

Walaupun sudah ditayangkan lebih daripada tiga minggu, Mechamato Movie terus mendapat sambutan hangat di pawagam dengan jumlah tayangan yang memberangsangkan.

Filem Mechamato Movie ini dijangka akan terus berada di pawagam sehingga akhir bulan depan.

The post Mechamato Movie pecah rekod filem animasi tempatan paling laris appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *