SUNGAI PETANI: Seorang mekanik maut apabila motosikal dinaiki hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan sewaktu melalui selekoh di Jalan Bukit Tembak -Tikam Batu, di sini, awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu, mangsa Muhammad Faiz Danial Noor Azwan, 20, yang mengalami kecederaan pada bahagian kepala dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini untuk diberi rawatan.

Bagaimanapun, mangsa dilaporkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di Zon Kuning hospital terbabit kira-kira pukul 9.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassaan berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati, kemalangan membabitkan sebuah motosikal jenis Honda Wave yang dinaiki mangsa akibat terbabas sendiri.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal yang sedang bergerak dari arah Tikam Batu menghala ke Kampung Bukit Kechik terbabas ke kiri jalan sewaktu melalui selekoh dipercayai menunggang dengan laju sehingga hilang kawalan,” katanya.

Zaidy berkata, mayat dibawa ke Jabatan Forensik untuk tujuan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

“Siasatan lanjut juga mendapati mangsa tidak memakai topi keledar ketika kejadian selain tidak memiliki lesen memandu,” jelasnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. –UTUSAN

The post Mekanik maut motosikal terbabas appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *