PETALING JAYA: Pasukan Melaka Boys muncul juara Kejohanan (ICFL) Bawah 16 tahun Peringkat kebangsaan 2022/2023 selepas menewaskan Mutiara Soccer All Star A 1-0 di pentas final di Stadium Mini Shah Alam hari ini.

Kejayaan berkenaan membolehkan Melaka Boys membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM3,000 beserta Piala Super ICFL, piala pusingan dan juga sijil penyertaan manakala, Mutiara Soccer All Star A membawa pulang RM1,200.

Tempat ketiga pula dimenangi oleh Mutiara Soccer All Star B dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM800 selepas berjaya menundukkan Penang Panther FC dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.

Presiden ICFL, Datuk Kamil Mokhtar berkata, sebanyak 16 pasukan dari seluruh negara telah berentap dalam kejohanan berkenaan yang bermula sejak semalam dan ia merupakan pentas terbaik untuk mencungki bakat-bakat baharu pemain remaja.

Kejohanan itu juga katanya, merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh ICFL dan kali ini, ia lebih meriah kerana dianjurkan semasa seluruh peminat bola sepak berada dalam kehangatan Piala Dunia 2022 yang sedang berlangsung di Qatar.

“Empat poasukan terbaik kejohanan iaitu Melaka Boys, Mutiara Soccer All Star A dan B serta Penang Panther FC layak secara automatik untuk beraksi di Piala ICFL Bawah 17 Tahun Peringkat Asean yang akan berlangsung pada Mei tahun hadapan di Kuala Lumpur.

” Piala ICFL Bawah 17 Tahun Peringkat Asean dianjurkan oleh ICFL dan sehingga kini, empat negara sudah mengesahkan penyertaan iaitu Thailand, Indonesia, Kemboja dan Laos. Platform ini akan menjadi pentas tertinggi untuk mereka mempamerkan bakat,” katanya ketika ditemui pemberita.

Sementara itu, Kamil turut berharap agensi-agensi kerajaan dan swasta tampil memberikan sokongan padu kepada penganjuran kejohanan bola sepak di peringkat domestik bagi melahirkan pemain yang berkualiti dan menjadi pelapis kepada pasukan kebangsaan.

“Untuk makluman, ICFL adalah merupakan antara persatuan sukan atau penganjur yang paling aktif menganjur pertandingan liga domestik di peringkat umur di Selangor dan Kuala Lumpur bagi mencungkil bakat-bakat pemain remaja,” katanya.-UTUSAN ONLINE

The post Melaka Boys julang Piala Super ICFL appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *