ALOR GAJAH: Melaka tidak membenarkan mana-mana aset kerajaan termasuk dewan di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) digunakan bagi tujuan berkempen oleh parti politik pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, keputusan itu dibuat kerajaan negeri berdasarkan Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954 yang tidak membenarkan penggunaan aset kerajaan bagi tujuan berkempen semasa pilihan raya.

“Setahu saya ketika pilihan raya semua aset kerajaan tidak boleh digunakan, jadi saya ikut kepada itu. Kalau Negeri Sembilan boleh menggunakan dewan ataupun aset-aset kerajaan, itu terserah kepada negeri itu sendiri.

“Tetapi saya mengikut kepada aktanya semua parti tidak dibenarkan menggunakan aset kerajaan, jadi di Melaka tidak, saya sendiri pun tidak akan menggunakan aset kerajaan.

“Gantung bendera parti, pemasangan poster dan sebagainya kita maklumkan tidak boleh menggunakan semua harta-harta kerajaan, kalau Negeri Sembilan nak buat itu hak mereka, kita gunakan saja kawasan yang dibenarkan, kawasan sedia ada,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan di Dewan Terbuka Kampung Orang Asli Bukit Payung di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Kerajaan Negeri Sembilan yang bersetuju memberikan kebenaran sewa dewan PBT di negeri itu oleh mana-mana parti politik bagi tujuan berkempen.

Utusan Malaysia melaporkan, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun memaklumkan, sewaan tersebut tidak melibatkan balai raya dan dewan yang berada dalam bangunan kerajaan. – UTUSAN

SULAIMAN Md. Ali bersalaman dengan anak-anak orang asli ketika mengadakan lawatan di Dewan Terbuka Kampung Orang Asli Bukit Payung, Alor Gajah, Melaka.

 

The post Melaka larang dewan PBT disewa kempen PRU15 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *