ALOR GAJAH: Antara kandungan utama Manifesto Mini Barisan Nasional (BN) Melaka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah menawarkan posisi seorang menteri penuh dari negeri ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, pelantikan seorang ahli Parlimen dari Melaka sebagai menteri Kabinet sangat penting sebagai penghubung suara rakyat negeri ini dengan Persekutuan. 

Beliau berkata, perkara itu juga dilihat relevan dan wajar dipertimbangkan kerana sudah terlalu lama tiada pelantikan menteri penuh membabitkan ahli Parlimen dari Melaka.

“Kita minta sebab sudah lama Melaka ini tidak ada seorang menteri yang mewakili rakyat Melaka.

“Ini akan membantu pembangunan negeri Melaka, melicinkan lagi tadbir urus kerajaan negeri yang boleh berhubung dengan Putrajaya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Alor Gajah di Machap Umboo di sini, semalam.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, tugas besar perlu dipikul kepemimpinan BN Melaka selepas pucuk pimpinan tertinggi parti menyasarkan lima kerusi Parlimen perlu dimenangi di negeri ini dalam PRU15.

Meskipun berat, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sasaran lebih 80 peratus itu tidak mustahil untuk dicapai berdasarkan keupayaan parti yang memperoleh majoriti lebih dua pertiga pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Walaupun tidak menamakan secara jelas, lima kerusi berkenaan dipercayai adalah Tangga Batu, Jasin, Hang Tuah Jaya, Masjid Tanah dan Alor Gajah.

Dalam pada itu, mengulas berkenaan hubungan antara UMNO dengan Pas yang sebelum ini agak baik di Melaka, Ab. Rauf berkata, Pas perlu menilai kembali sejarah kerjasama yang membuahkan hasil pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai sebelum memasuki medan PRU15 bersama Perikatan Nasional (PN).

Jelasnya, gabungan UMNO dan Pas ketika itu memenangi semua pusat daerah mengundi (PDM).

“Semua ini membuktikan kesepakatan Pas dan UMNO ini satu gabungan yang baik ketika itu. Terserah kepada pucuk pimpinan Pas, kalau hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.

“Tak pernah dalam sejarah PRK Malaysia sejak merdeka, kita memenangi semua PDM seperti Tanjung Piai yang lepas,” jelasnya. –UTUSAN

The post Melaka perlu lantikan seorang menteri penuh – Ab. Rauf appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *