MELAKA: Kerajaan negeri akan memastikan peningkatan tahap kebersihan seiring hasrat Melaka menuju ke arah penggredan baharu sebagai sebuah negeri lestari.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan berkata, usaha tersebut sedang dibuat untuk menyelaraskan program-program berdasarkan dapatan dan indikator tertentu.

Menurut beliau, sasaran baharu itu sebagai tambahan kepada pengiktirafan dan kejayaan pada peringkat nasional yang diterima sebelum ini seperti negeri bahagia, negeri mampan dan negeri berdaya huni.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) Melaka juga berada antara 10 terbaik dalam negara. Kita mahu tingkatkan lagi Melaka menuju negeri lestari di mana usaha ini bukan sahaja perlu dipertingkatkan di bawah PBT, tetapi perlu merentasi sempadan di bawah agensi-agensi lain.

“Antara kawasan yang diberikan fokus utama adalah tempat-tempat pelancongan dan medan-medan selera utama. Kita menjangkakan (Melaka) akan menuju semula sebagai negeri pelancongan yang menerima kehadiran pengunjung tertinggi dalam negara,” katanya ketika sidang akhbar Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kebersihan dan Keindahan Peringkat Negeri di sini hari ini.

Sebanyak 21 kategori dipertandingkan melibatkan 21 pengerusi jawatankuasa kecil dan sejumlah 283 penyertaan telah diterima. Antara kategori yang dipertandingkan adalah antara kampung, jabatan dan sekolah.

Dalam pada itu, mengenai cadangan pertambahan kategori pertandingan kebersihan, Zaidi memberitahu, pihaknya akan melihat keperluan pertambahan itu daripada pelbagai sudut.

Katanya, ini kerana Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali turut menyarankan agar pertandingan seumpama itu diteruskan dan ditambah baik. – UTUSAN

The post Melaka tingkat tahap kebersihan, mahu jadi negeri lestari appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *