Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkenalkan konsep Malaysia Madani yang dirangka sebagai ikhtiar untuk memetakan strategi tata keloka dan pentadbiran negara secara berkesan, menekankan kepada pemerkasaan ekonomi dan budaya, yang berteraskan nilai, etika atau akhlak.
Sebenarnya perkataan Madani begitu sinonim dengan Anwar. Malahan istilah Madani yang sememangnya sudah sekian lama dipopularkan dan diungkap beliau suatu ketika dahulu yang memberi keutamaan kepada soal keyakinan dan kemanusiaan.
Tatkala negara dipacu untuk maju dan kadang kala tercemar kerana salah laku serta rasuah, selain keruntuhan nilai, Anwar menyuntik kesedaran dalam kalangan semua pihak untuk menghidupkan semula kekuatan leluhur bangsa dengan nilai murni yang harus dikembangkan semula.
Menerusi buku beliau yang dilancarkan, bertajuk Membangun Negara Madani, antara lain mengangkat martabat manusia dan menegakkan keadilan menjadi asas penting dalam konteks falsafah negara Madani. Konsep Madani juga meletakkan Islam di kedudukan yang sangat istimewa kepada manusia.
Satu di antara konsep penting dalam masyarakat Madani adalah berlakunya keseimbangan dan mampan. Keseimbangan ini memberi keadilan kepada seluruh rakyat tanpa melakukan diskriminasi, kezaliman dan penindasan.
Membangun Malaysia Madani menepati elemen keterangkuman bagi membina masyarakat bertamadun, bukan sahaja dari aspek fizikal, malah melahirkan modal insan yang cemerlang spiritual. Anwar, mengangkat wacana itu tepat pada masanya, terutama melihat kepada pelbagai kepincangan berlaku ketika ini. Ini kerana konsep Madani menitik beratkan kepada masyarakat yang diurus dengan baik dan mencapai tujuan pembinaan beradaban bangsa.
Objektif melahirkan masyarakat Madani membolehkan setiap manusia mencapai kesejahteraan dan kebahagiaan. Maka, maksud pembangunan itu bukan semata-mata terlihat dengan kerangka projek pembinaan yang boleh dilihat dengan mata kasar, tetapi dengan memakmurkan dunia.
Menerusi ‘Wacana Membangun Negara Madani’ konsep dan falsafah negara madani secara naratifnya adalah untuk mengangkat manusia, menegakkan keadilan dan beri kebebasan yang bertanggungjawab.
Konsep ini menekankan aspek tata kelola yang me­nekankan kepada pelak­sanaan terhadap dasar sedia ada terutamanya dalam ke­melut politik dan ekonomi yang dihadapi negara sekarang ini.
Gagasan Madani bersifat menyeluruh berdasarkan enam tonggak utamanya iaitu M (kemampanan), A (kesejahteraan), D (Daya cipta), A (hormat), N (keyakinan) dan I (Ihsan).
Untuk rekod terdapat banyak kelemahan dari segi tata kelola, terutamanya rasuah yang berleluasa, isu kemiskinan, gejala sosial dan kemusnahan alam sekitar.Maka konsep ini menekankan aspek tata kelola dalam pelaksanaan terhadap dasar sedia ada terutamanya ketika berdepan kemelut politik dan ekonomi negara sekarang ini.
Walaupun negara ini mempunyai dasar yang baik mengenai perlindungan alam sekitar, namun kemusnahan tetap berterusan. Masih banyak kes rasuah dilaporkan media saban hari. Kita juga disuakan dengan kelemahan dalam menangani isu sosial dan menangani persoalan kemiskinan baik di luar atau di bandar. Ternyata ini bukan kelemahan dasar namun lebih kepada tata kelola, ketirisan dan penyalah gunaan kuasa.
Konsep ini juga menekan­kan aspek tata kelola yang menekankan kepada pelaksanaan terhadap dasar sedia ada terutamanya dalam kemelut politik dan ekonomi yang dihadapi negara ketika ini. Gagasan Perdana Menteri melalui masyarakat Madani adalah melahirkan Malaysia yang maju dan tinggi tamadunnya. Kemajuan ini bukan dinilai dari segi kebendaan atau ekonomi semata-mata, namun yang lebih penting kemajuan dari segi pemikiran dan peradaban.
Madani juga berkait dengan dua konsep utama di dalamnya iaitu ketelusan dan kerjasama. Ketelusan penting sebab ia menyentuh soal tadbir urus yang baik dan integriti. Malahan ini sebenarnya menjadi fokus kepada kerajaan dan Perdana Menteri kita masa kini.
Begitu juga dengan konsep kedua iaitu kerjasama. Ini terserlah dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan hari ini hasil muafakat dan kerjasama beberapa parti berbeza. Semangat ini perlu dibawa dalam konteks pembangunan negara dan sudah tentu ia pemangkin kemajuan negara.
Rakyat yakin kerangka dasar baharu untuk negara dengan konsep Madani dapat membawa perubahan besar kepada negara, terutama dalam merencanakan kepentingan rakyat. Pada masa sama, perlu ada rangsangan lain untuk memenuhi matlamat atau agenda yang ditetapkan dalam tonggak Madani.
Ternyata Malaysia Madani akan membawa rakyat ke arah yang lebih baik, sama ada dari segi ekonomi mahupun sosial. Namun kerangka dasar baharu ini akan memberi peluang dan ruang ekonomi kepada rakyat, terutama golongan B40.
Konsep Malaysia Madani diharap dapat membantu membuka ruang kerjaya yang lebih luas kepada golongan muda yang berhadapan dengan isu pengangguran yang semakin mencemaskan.
Melalui konsep Malaysia Madani juga, rakyat mahu melihat kematangan politik negara supaya berada dalam keadaan stabil. Rakyat akan yakin dasar baharu itu dapat memacu kemajuan negara terutama dalam pembangunan ekonomi, jika pemimpin komited dan beriltizam memastikan kesejahteraan rakyat terus terbela. Maka, setiap rakyat perlu terbabit dalam membangun Malaysia Madani. Kesejahteraan rakyat bermula dengan ekonomi yang stabil, selain pembangunan modal insan yang mampan.
Justeru, konsep Madani perlu difahami dan diamalkan bukan sahaja penting untuk setiap orang daripada pemimpin namun setiap warga perlu dijadikan amalan supaya segala nilai baik dapat dibentuk dan dipertahankan.
Namun apa yang lebih penting adalah Malaysia Madani perlu disambut baik oleh seluruh masyarakat untuk diterjemahkan dalam setiap tindak tanduk mereka.

Prof. Datuk Dr. Ismail Sualman ialah Professor Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Media Universiti Teknologi MARA.

The post Memahami konsep Malaysia Madani appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *