SAUDARA PENGARANG,

RASANYA belum terlambat untuk mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10. Satu sifat terpuji Perdana Menteri kita yang baharu ialah sangat rajin membaca.

Inilah contoh pemimpin yang kita mahukan, rajin menimba ilmu yang harus dicontohi seluruh rakyat. Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Bacalah dan Tuhanmu yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Surah al-‘Alaq, ayat 3-5)

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa membaca adalah kunci kepada ilmu pengetahuan. Membaca adalah penting dan satu keperluan bagi setiap manusia. Ini kerana membaca menghubungkan manusia kepada pelbagai bidang ilmu merentasi peredaran zaman. Misalnya, ilmu bahasa, sains, matematik, astronomi dan falsafah.

Hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang dilancar pada 1996 adalah untuk memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu bagi mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Justeru, amalan membaca merupakan elemen penting dalam pendidikan bagi membentuk modal insan serta membangunkan ketamadunan sesuatu bangsa dan negara. Membaca banyak memberi manfaat dan kesan positif.

Antaranya menambahkan pengetahuan seseorang. Amalan membaca dapat membantu memberikan nilai tambah dalam diri setiap individu sebagai persediaan untuk bersaing dalam era globalisasi ini.

Imaginasi

Membaca bukan hanya terhad kepada buku teks di sekolah malah komik, ensiklopedia, novel dan majalah merupakan medium yang baik dalam penyebaran ilmu. Misalnya, pembacaan novel dapat meningkatkan daya imaginasi dan tahap kreativiti seseorang.

Semasa majlis pelancaran Dekad Membaca Kebangsaan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2020, Tun Dr. Mahathir Mohamad, juga seorang yang rajin membaca dalam ucapannya menyebut, “Pembacaan yang banyak dapat mempertingkatkan kecerdasan intelektual (IQ) serta tahap kecerdasan emosi (EQ). Kedua-dua unsur kecerdasan ini amat penting bagi membolehkan seseorang menguasai pelbagai keadaan dan merebut peluang yang ada bagi pembangunan diri.”

Melalui amalan membaca, seseorang itu dapat memperoleh nilai murni serta pengajaran. Misalnya, pembacaan buku-buku mengenai sejarah Islam seperti Perang Uhud. Di samping itu, amalan membaca dapat melahirkan masyarakat yang ber­fikiran kritis dan inovatif.

Pada era digital ini, manusia berlumba-lumba untuk mencapai kemajuan dan kemodenan. Penghasilan barangan elektronik seperti telefon pintar, kamera, dron dan jam tangan giat dilakukan oleh pelbagai negara.

Akan tetapi penghasilan dan pengeluarannya memerlukan ilmu serta kepakaran yang tinggi. Justeru, amalan membaca dapat mendedahkan masyarakat kepada ilmu-ilmu baharu seperti sains dan teknologi.

Ingatlah, bangsa yang hebat dan berjaya ialah bangsa yang membaca. Membaca merupakan elemen penting dalam membentuk tamadun serta peradaban manusia. – UTUSAN

WAN ‘AINA BALQIS WAN ZAMRI, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

The post Membaca lahirkan generasi bertamadun appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *