SUNGAI BULOH: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin berkata, beliau akan dilantik sebagai menteri sekiranya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri.

Bagaimanapun, beliau berkata, perkara berkenaan hanya dapat direalisasikan sekiranya beliau memenangi kerusi Sungai Buloh yang ditandingnya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15).

“Dia (Ismail Sabri) sebut semasa di Jempol kalau dia jadi Perdana Menteri pada 20 hari bulan nanti (20 November ini), KJ akan jadi menteri.

“Kerusi saya dalam Kabinet sudah selamat cuma dalam Parlimen belum lagi dan itu yang kita kena selamatkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Silaturahim anjuran Pertubuhan Amal Kebajikan Agama dan Masyarakat (Perakam) di Kelab Putra Rahman, di sini, malam ini.

Terdahulu pada Ceramah Kata Janji KJ di Saujana Utama, Khairy secara terbuka memaklumkan, beliau berhasrat menjadi Perdana Menteri dan memimpin UMNO suatu hari nanti.

Kenyataan beliau mendapat pelbagai reaksi termasuk daripada Ismail Sabri yang menyatakan Khairy layak menjadi Perdana Menteri masa akan datang.

“Kalau menang pilihan raya, dapat sokongan daripada parti, tentu sahaja KJ salah seorang yang layak diangkat sebagai Perdana Menteri suatu masa nanti,” katanya.

Parlimen Sungai Buloh menyaksikan pertandingan tujuh penjuru melibatkan Khairy (BN), Datuk R. Ramanan (PH), Mohd. Ghazali Md. Hamin (PN), Mohd. Akmal Mohd. Yusof (GTA), Ahmad Jufliz Faiza (PRM) dan Nurhaslinda Basri serta Syed Abdul Razak Syed Long Alsagof masing-masing calon Bebas.- UTUSAN

The post Menang Sungai Buloh, Ismail Sabri jadikan saya menteri – KJ appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *