PETALING JAYA: Penyandang kerusi Parlimen Jelutong dari DAP, RSN Rayer disenarai hitam dan dihalang memasuki Sarawak, sebaik sahaja tiba pada pukul 5 petang tadi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau dijadualkan hadir ceramah parti itu di Batu Kawa malam ini, namun tidak dapat meneruskan rancangannya kerana tidak mendapat kebenaran dari Jabatan Imigresen di sana.

Bagaimanapun, beliau tidak memberitahu sebab dihalang memasuki ke negeri berkenaan. 

“Saya datang sini untuk memberi ceramah di Batu Kawa, namun, saya diberitahu yang saya dihalang daripada masuk Sarawak dan telah disenarai hitam. 

“Kena tanya Premier Sarawak (Tan Sri Abang Johari Tun Openg) kenapa saya tidak boleh masuk ke Sarawak,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi. 

Sementara itu, jurucakap DAP memberitahu media yang RSN Rayer tiba di Sarawak menaiki syarikat penerbangan tempatan dari Pulau Pinang. 

Beliau dijadual kembali ke ibu negara menaiki penerbangan syarikat sama pada pukul 9 malam ini dan meneruskan penerbangan ke Pulau Pinang pada pukul 11.20 malam ini. 

“Beliau hanya diberitahu bahawa notis tersebut dikeluarkan oleh Kerajaan Sarawak pada 2016. Tiada penjelasan diberikan,” katanya. 

Pada 1 November lalu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menghadiri program di Miri, memohon pertimbangan Abang Johari untuk menarik balik larangan sekatan masuk beberapa pemimpin utama parti itu semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). 

Sekatan ke atas pemimpin-pemimpin pembangkang ke Sarawak bukan perkara baharu kerana pada 2015, anaknya, Nurul Izzah Anwar ketika itu merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai dihalang memasuki Sarawak atas arahan pihak berkuasa di sana. 

Beliau menjelaskan dihalang daripada memasuki negeri Sarawak mengikut Seksyen 65 (1) Akta Imigresen 1959/63, bagaimanapun menegaskan seksyen berkenaan tidak boleh menyekat sesiapa untuk memasuki Sabah dan Sarawak untuk tujuan berpolitik.

Sarawak yang memiliki autonomi berhubung peraturan imigresennya juga pernah menahan beberapa individu sebelum ini daripada memasuki negeri, antaranya ahli akademik, Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua.

Penyandang kerusi Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin turut berdepan situasi serupa pada tahun 2013 hingga 2016 ketika Sarawak di bawah pentadbiran Tan Sri Adenan Satem. 

Pada 2020, penyandang kerusi Parlimen Keningau, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan dilaporkan dihalang memasuki Sarawak kali kedua dan permohonan pas khas memasuki negeri itu untuk menghadiri mesyuarat turut ditolak kerajaan Sarawak. 

Pada tahun lalu, penyandang kerusi Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham (DAP) dan penyandang kerusi Parlimen Subang, Wong Chen (PKR) telah dinafikan daripada ke Sarawak ketika kempen pilihan raya negeri sedang berlangsung. –UTUSAN

The post Mengapa saya dihalang masuk Sarawak? -RSN Rayer  appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *