MUTAKHIR ini kedengaran suara ‘nakal’ sebilangan agamawan yang menyebut bahawa Asha’irah bukan Ahli-Sunnah Wa al-Jamaah (ASWJ). Perkembangan ini perlu dipandang serius oleh para ulama dan pihak berkuasa agama kerana kesannya sangat besar terhadap keharmonian beragama bahkan boleh membawa kepada mudarat.
Sejarah Islam adalah saksi muktabar yang membuktikan Asha’irah adalah komponan terbesar dalam ASWJ selain al-Maturidiah dan al-Athariah.
Berkongsi pandangan berkaitan isu ini, Ahli Majlis Syura Pondok Kelantan, Dr. Muna Hamzan berkata, aliran Asha’irah adalah arus perdana umat Islam di dunia sejak zaman kemunculan Imam Abu Hasan al-Ashari sehingga ke hari ini dan sanad ilmu serta manhaj beliau tidak pernah terputus bahkan disambung oleh majoriti ulama sepanjang zaman.
Menurutnya, ulama Asha’irah ialah mereka yang menjelaskan akidah ASWJ yang diriwayatkan daripada generasi salaf. Mereka juga bangkit menguatkan akidah itu dengan hujah serta dalil, dan pada masa sama menolak serta menghujahi kelompok yang menyimpang daripada kebenaran dan golongan berfahaman ateisme.
“Sejarah menyaksikan jumhur ulama Islam sependapat dengan ulama Asha’irah sepanjang zaman hingga ke hari ini.
“Ulama Asha’irah ialah mereka yang menghuraikan akidah generasi salaf dan mendukung akidah itu dengan hujah dan dalil. Usaha mereka mendapat restu daripada para ulama sepanjang zaman bahkan para ulama turut bersama mengikuti manhaj serta menjejaki jalan mereka. Akhirnya, mereka dinisbahkan sebagai ulama Asha’irah,” jelasnya ketika ditemui Mingguan Malaysia di Pondok Moden Bachok, Kelantan, baru-baru ini.
Dr. Muna menerangkan, Imam al-Saffarini al-Hanbali berkata, bahawa ASWJ terdiri daripada tiga golongan iaitu al-Athariah yang dipimpin oleh Imam Ahmad ibn Hanbal, al-Asha’irah yang dipimpin oleh Imam Abu al-Hasan al-Ash’ari dan al-Maturidiah yang dipimpin oleh Imam Abu Mansur al-Maturidi.
Menurutnya, adapun, kelompok yang sesat itu sangat banyak sebagaimana tercatat dalam kitab Lawami’ al-Anwar al-Bahiyyah, Muassasah al-Khafiqin. Imam al-Murtada al-Zabidi juga menyatakan apabila dipakai istilah ASWJ maka maksudnya merujuk kepada al-Asha’irah dan al-Maturidiah.
Tambahnya, Imam Ibn Abidin menukilkan perkataan Imam al-Hasakfi yang menegaskan sebahagian perkara yang wajib dipegang oleh setiap mukalaf tanpa taklik kepada sesiapa adalah perkara yang diputuskan oleh ASWJ iaitu ajaran dan amalan al-Asha’irah dan al-Maturidiah.
“Seperti yang tercatat dalam ‘Rad al Muhtar ala al-Durr al-Mukhtar, Dar al-Kutub al-Ilmiah, ulama bersepakat dalam semua perkara akidah kecuali berselisih dalam beberapa perkara kecil. Imam al-Murtada menukil perkataan Imam Ibn al-Subki yang menyatakan: Ketahuilah semua ASJW telah bersepakat di atas akidah yang satu tentang perkara wajib, harus dan mustahil pada hak Allah SWT walaupun mereka berbeza kaedah dan prinsip yang membawa kepada akidah itu.
“Ringkasnya, mereka terdiri daripada tiga golongan iaitu ahli hadis dan dasar – mereka adalah dalil-dalil yang didengar daripada al-Quran, al-Sunnah dan ijmak ulama. Kedua dan ketiga ialah ahli al-Nazar secara akal dan fikir iaitu Asha’irah dan Hanafiah. Imam kepada Asha’irah ialah Abu al-Hasan al-Ash’ari sementara Imam kepada Hanafiah ialah Abu Mansur al-Maturidi seperti yang tercacat dalam Ittihaf sadah al-Muttaqin Sharh Ihya’ Ulum al-Din, Muassasah al-Tarikh al-‘Arabi, Lubnan,”katanya.
Dr. Muna berkata, ini sekaligus menolak dakwaan yang dilontarkan terhadap ulama Asha’irah bahawa mereka bukan ASWJ bahkan melabelkan mereka sebagai sesat, ahli bida’ah dan penghuni neraka.
Tegasnya, Asha’irah tidak mengada-adakan mazhab akidah baru, bahkan mengikuti sunnah para ulama yang mendahului mereka dalam kalangan ahli salaf seperti mana kenyataan Imam Taj al-Din ibn al-Subki iaitu: Ketahuilah Abu al-Hasan tidak mereka-reka pendapat dan tidak pula mencipta mazhab tetapi menegakkan pendapat-pendapat ahli salaf serta berusaha memperjuangkan apa yang dilakukan oleh para sahabat Rasulullah SAW.
Justeru, katanya, kajian khusus berkaitan sejarah perkembangan dan metodologi aliran Asha’irah perlu dilakukan untuk melihat lebih mendalam lagi dan dipaparkan kepada umat Islam masa kini.

DR. MUNA HAMZAN
» Nama panggilan popular: Abu Muayyad
» Usia: 37 tahun
» Asal: Kampung Peringat, Kota Bharu, Kelantan.
» Sejarah pendidikan:
Ijazah Sarjana Muda Syariah, Universiti al-Azhar, Kaherah, Mesir.
Doktor Falsafah (PhD) Syariah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
» Jawatan: Ketua Lajnah Perkaderan Kesatuan Pondok Kelantan.

The post Mengenali Asha’irah dan ASWJ appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *