MEMANG ada ciri-ciri pengintip!

Menyamar sebagai pekerja binaan, pakai uniform, berhijab dan bercermin mata bagi mengelak dikenali. Kemudiannya menyelinap masuk dan melepasi kawalan keselamatan. Selepas itu bersembunyi dalam ruang sempit selama 20 jam agar tidak dilihat oleh pengawal keselamatan mahupun para pekerja lain.

Sebelum itu sewa apartment selama beberapa minggu untuk mengkaji dan memantau persekitaran lokasi sasaran. Malahan tiada rekod masuk-keluar pintu sempadan negara.

Tidak ubah macam plot filem-filem perisikan seperti Mission Imposible dan James Bond yang pernah saya tonton. Namun, itulah yang dilakukan Angela Nikolau dan pasangannya, Ivan Beerkus sebelum menceroboh dan naik sehingga puncak Menara Merdeka 118 di ibu negara, baru-baru ini. Menara kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa.

Tapi, adakah pasangan warga Russia itu pengintip? Atau mereka sekadar berkarya untuk menghasilkan ciptaan peribadi?

“Kalau ikutkan, itulah ciri-ciri seorang pengintip,” kata bekas pegawai kanan dari Bahagian Staf Perisikan Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Brigadier Jeneral (B) Mohd. Azhar Zainal Abidin, 61.

Apa yang menghairankan beliau yang juga bekas Penasihat Pertahanan Malaysia di Islamabad, Pakistan, bagaimana kedua-dua mereka berjaya melepasi kawalan keselamatan di bangunan setinggi 678.9 meter itu.

Selalunya premis yang sedang dalam pembinaan sangat ketat tahap keselamatannya. Sepatutnya dari bawah sudah ada beberapa lapisan kawalan.

Lebih bermain-main dalam fikiran bekas Inspektor Jeneral di Bahagian Staf Perisikan Pertahanan, Kementerian Pertahanan itu, bagaimana mereka boleh masuk dan keluar dari negara ini tanpa rekod pihak imigresen?

“Adakah mereka masuk ikut jalan darat dari negara jiran menggunakan jalan tikus? Mungkin juga,” katanya.

Kita seolah-olah masih tidak belajar daripada pengalaman lalu. Ini bukanlah pertama kali pencerobohan oleh warga asing ke atas bangunan ikonik kita.

Pada 2009, Alain Robert atau Spiderman dari Perancis menceroboh dan memanjat Menara Berkembar Petronas setinggi 88 tingkat. Itu adalah percubaan ketiga Robert selepas gagal pada 1997 dan 2007.

Robert yang dituduh di bawah Seksten 447 Kanun Keseksaan atas kesalahan pencerobohan jenayah mengaku bersalah dan dikenakan hukuman RM2,000. Dia kemudian dibebaskan tanpa didakwa.

POPULARITI

Sama seperti Robert, Mohd. Azhar membuat kesimpulan yang Angela dan Beerkus juga melakukan tindakan berbahaya sedemikian untuk kepuasan diri sendiri. Selain itu, kedua-duanya mahu mencari populariti sekali gus menjadi sumber pendapatan mereka. Lagipun tiada peralatan risikan digunakan kedua-duanya. Memanjat Menara Merdeka 118 juga menggunakan kebijaksanaan manoeuvre (pergerakan).

Pemeriksaan dalam premis sewaan mereka oleh pihak berkuasa juga mendapati tiada kelengkapan mencurigakan seperti alat pengintipan. Ini berdasarkan laporan-laporan oleh media berhubung kejadian berkenaan, juga pengakuan Angela dalam akaun media sosial miliknya.

“Watak kedua-dua warga Russia ini macam rakyat biasa. Tiada apa-apa yang mencurigakan,” jelas Mohd. Azhar.

Menurutnya, Angela dan Beerkus memang dikenali dengan aksi lagak ngeri memanjat beberapa bangunan pencakar langit di seluruh dunia.

Bagaimanapun, beliau menasihati semua pihak agar tidak mengambil mudah perkara sebegini. Meskipun premis-premis yang tiada kepentingan strategik seperti Menara Merdeka 118 bukan dikategorikan sebagai sasaran penting, tahap keselamatan tetap perlu dipertingkatkan.

Ini kerana mana-mana mercu tanda negara jika tidak dikawal, sekiranya ada unsur-unsur tidak elok seperti letupan oleh pihak tidak bertanggungjawab pastinya akan menjejaskan imej Malaysia.

Lagipun jelas Mohd. Azhar, perbuatan sedemikian membahayakan diri sendiri, berisiko mendatangkan kecelakaan seperti terjatuh. Itulah satu sebab nak dielakkan.

Meskipun isu ini dilihat tidak memberi ancaman kepada negara secara khususnya, adalah menjadi keutamaan kepada pihak berkuasa untuk mempertingkatkan tahap kawalan dan keselamatan dan membuat siasatan dengan lebih teliti bagi memastikan apa yang berlaku ini tidak melibatkan unsur-unsur jenayah terancang. – UTUSAN

PENULIS ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia.

The post Mengintip atau berkarya? appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *