PETALING JAYA: Tindakan 12 menteri yang mewakili Perikatan Nasional (PN) mengutuskan warkah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong disifatkan sebagai sengaja mahu mengaibkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, jika menteri-menteri PN tidak bersetuju dengan soal pembubaran Parlimen, perkara itu boleh dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet tanpa perlu menghantar surat kepada Istana Negara dan dihebahkan kepada khalayak ramai.

“Ternyata tindakan ini adalah niat jahat musuh BN untuk mengaibkan Perdana Menteri dari BN,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menafikan tindakan menteri PN menghantar surat kepada Agong menyebabkan Perdana Menteri terpaksa membubarkan Parlimen.

Namun, kata Ahmad Zahid, tindakan menteri PN menghantar surat kepada Agong itu bukanlah satu-satunya sebab utama berlaku pembubaran Parlimen sebaliknya banyak lagi sebab-sebab yang mencetuskan perkara tersebut.

“Parti beliau (Muhyiddin) juga menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri dan mendedahkan perjanjian persefahaman beliau, sedangkan Bersatu sudah ada jawatan menteri kanan, menteri-menteri dan jawatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Tuntutan jawatan tersebut tidak sensitif dengan situasi pemulihan ekonomi negara dan dasar jimat cermat negara, sebaliknya Bersatu asyik memikirkan mengenai jawatan, pangkat dan kedudukan sahaja,” katanya.

Selain itu, dakwanya, Muhyiddin juga pernah mengancam untuk menarik sokongan terhadap kepimpinan Ismail Sabri.

“Apabila secara terbuka Muhyiddin juga selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) menyatakan Perdana Menteri gagal menguruskan negara dan ekonomi dengan baik.

“Sedangkan beliau sendiri merupakan Pengerusi MPN, pemimpin Bersatu sendiri Menteri Hal Ehwal Ekonomi. Malah, Muhyiddin menyarankan agar Parlimen dibubarkan atas kegagalan tersebut. Kata beliau lagi perlu ada kerajaan baharu yang lebih cekap. Namun Muhyiddin cuba menafikan kenyataannya sendiri,” katanya.

Oleh itu, katanya, tindak-tanduk 12 menteri PN sekali gus mencetuskan isu ketidakpercayaan terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri lantikan Agong.

“Sudah pasti Perdana Menteri boleh sahaja memecat 12 menteri tersebut. Namun ini akan membawa krisis yang lebih besar, parah dan memalukan pentadbiran negara. Ia juga akan melibatkan undi tidak percaya dan sebagainya.

“Maka, jalan terbaik untuk berdepan dengan kerenah ahli Kabinet tidak berdisiplin ini ialah Perdana Menteri pergi mengadap Yang di-Pertuan Agong dan memohon perkenan baginda untuk membubarkan Parlimen.

“Ini sesuai juga bagi mengembalikan mandat kepada rakyat, yang sebelum ini ramai yang melompat parti, menjawab cabaran Muhyiddin untuk bubar Parlimen, dan memastikan kestabilan politik dan pemulihan ekonomi negara tidak terganggu pada masa akan datang,” katanya.

Beliau juga berharap, perkara ini tidak berulang kembali dan memastikan BN membentuk kerajaan yang stabil dan harmoni sesuai dengan titah Agong.

“Insya-Allah apabila BN mendapat mandat besar dan kembali menerajui kerajaan perkara ini tidak akan berlaku, hal ini kerana BN adalah pembawa kestabilan dan kemakmuran negara,” katanya. – UTUSAN

The post Menteri PN boleh bincang dalam Kabinet, tapi mahu aibkan PM  – Zahid appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *