TASEK GELUGOR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri menegaskan, menteri-menteri Perikatan Nasional (PN) sudah lama dipecat daripada Kabinet sekiranya beliau benar-benar serius dengan tindakan itu.

Bagaimanapun, ujar beliau, kesemua 12 menteri PN itu sehingga kini masih berada di dalam Kabinet serta masih memegang jawatan masing-masing.

“Saya berseloroh atau serius? Kalau saya serius dia (menteri-menteri PN) sudah kena pecat dah, tapi dia (mereka) masih ada dalam Kabinet, saya tak pecat tu maksudnya saya berselorohlah,” katanya ringkas kepada pemberita selepas Program Pemantapan Komuniti Bandar Keluarga Malaysia di Pusat Komersial Tasek Gelugor, di sini hari ini.

Awal hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad dilaporkan berkata, belum terlambat untuk Ismail Sabri memecat anggota Kabinet sementaranya seperti yang dibangkitkan sebelum ini.

Malah, Abdul Latiff yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, penggunaan ayat seperti “pecat menteri” tidak sepatutnya digunakan Ismail Sabri dalam program politik walaupun ia dalam gurauan atau sinikal.

Kenyataan Abdul Latiff itu merujuk kepada ucapan Ismail Sabri pada Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran Barisan Nasional (BN) di Dewan Perdana Kompleks UMNO Bagan Datuk,  Isnin lalu yang mana beliau boleh saja memecat 12 menteri Perikatan Nasional (PN) berhubung isu pembubaran Parlimen. –UTUSAN

The post Mereka sudah lama dipecat jika saya serius – PM appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *