KANGAR: Majlis Tertinggi UMNO perlu meminta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berundur secara terhormat berikutan pencapaian cukup buruk Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pencapaian yang disifatkan paling buruk dalam sejarah BN termasuk kehilangan negeri yang menjadi kubu kuat parti itu seperti Perlis adalah satu mesej jelas kepada Ahmad Zahid yang gagal melakukan percaturan dengan baik mendepani PRU15.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, dalam PRU14, ketika BN kalah, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengambil tanggungjawab melepaskan jawatan sebagai Presiden.

“(Hari ini) mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO dan biro politik mereka. Mintalah dan suruh Ahmad Zahid berhenti secara terhormat.

“Beri laluan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengetuai UMNO,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Pas Kangar di sini.

Keputusan PRU15 menyaksikan BN hanya meraih 30 kerusi berbanding Pakatan Harapan (PH) yang menang 82 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) yang menguasai 73 kerusi Parlimen.

Sementara itu, Shahidan yang menang atas tiket PN di Parlimen Arau berkata, gabungan PN, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) patut berlaku dalam membentuk Kerajaan Pusat.

“Minta Ismail Sabri mengetuai UMNO berbincang soal kerjasama tersebut dan Ahmad Zahid perlu digesa meletak jawatan secara terhormat,” katanya. – UTUSAN

The post Mesej Shahidan buat Ahmad Zahid, berundurlah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *