NEW DELHI: Biasanya mesin pengeluaran wang automatik (ATM) ditempatkan di lokasi strategik dan mudah diakses oleh orang ramai.

Namun, rupa-rupanya terdapat sebuah mesin ATM yang terletak di puncak gunung pada ketinggian 4,693 meter dari aras laut.

Malah, mesin ATM berkenaan turut disenaraikan sebagai yang tertinggi di dunia.

Lapor Oddity Central, mesin ATM itu terletak di sempadan Khunjerab Pass antara China dan Pakistan dan boleh ditemukan ketika mendaki pergunungan Pakistan yang dilitupi salji.

Mesin ATM yang berada di garisan sempadan Khunjerab Pass di wilayah Gilgit-Balistan, utara Pakistan itu mampu berfungsi sepenuhnya seperti mesin lain.

“Ia dipasang oleh Bank Negara Pakistan pada 2016 dan proses tersebut agak rumit kerana mengambil masa kira-kira empat bulan untuk diselesaikan.

“Kerja-kerja penyelenggaraan berkala dan pengisian semula wang tunai di mesin ATM tersebut juga amat memenatkan kerana bank berhampiran terletak sejauh 82 kilometer (km).

“Bagaimanapun, mesin ATM berkuasa tenaga suria dan angin itu sudah tentu adalah pengalaman luar biasa untuk dilihat di kawasan terpencil seperti Khunjerab Pass, lintasan sempadan berturap tertinggi di dunia,” jelas laporan itu.

Mesin ATM itu kebanyakannya digunakan oleh pengawal sempadan yang mengeluarkan gaji bulanan mereka, sejumlah kecil penduduk tempatan dan individu yang menyeberangi sempadan itu.

Sementara itu, seorang jurucakap Bank Pakistan mengakui ia mengambil masa antara dua hingga dua setengah jam untuk sampai ke lokasi mesin ATM itu apabila memerlukan penyelenggaraan segera.

The post Mesin ATM tertinggi di dunia terletak 4,693 meter dari aras laut appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *