BUENOS AIRES: Argentina menyenaraikan penyerang yang masih bergelut dengan kecederaan, Paulo Dybala ke Piala Dunia 2022, manakala Lionel Messi pula akan memimpin pasukan di Qatar.

Dybala tidak bermain untuk kelabnya, AS Roma sejak awal Oktober tetapi tetap dibawa oleh pengendali Argentina, Lionel Scaloni bagi melengkapkan senarai 26 pemain.

Scaloni masih berharap pemain berusia 28 tahun itu sempat cergas menjelang aksi pembukaan Kumpulan C, menentang Arab Saudi pada 22 November.

Messi, 35, pula akan beraksi dalam Piala Dunia kelimanya dan bakal ditemani rakan veteran, Angel Di Maria serta Nicolas Otamendi bersama muka baharu yang membantu Argentina memenangi kejuaraan Copa America tahun lalu.

“Mereka bangga dipanggil dan memakai jersi ini, semoga anda sebagai peminat juga begitu. Bersama-sama kami,” kata Scaloni dalam video Instagram.

Argentina kehilangan khidmat bintang tengah Villarreal, Giovani Lo Celso yang mengalami kecederaan hamstring.

Leandro Paredes dan Rodrigo De Paul akan mengetuai bahagian tengah, manakala bintang Benfica, Nicolas Otamendi memperkuatkan benteng bersama Lisandro Martinez dan Cristian Romero.

“Tiada perkataan untuk menggambarkan perasaan mendengar nama saya dalam senarai akhir. Impian benar-benar menjadi kenyataan, ayuh Argentina,” kata Paredes di Instagram.

Penyerang Manchester City, Julian Alvarez, 22, turut disenaraikan selepas mengharungi tahun cemerlang, di mana dia meledak 18 gol semasa dipinjamkan ke kelab Argentina, River Plate dan menjaringkan tujuh gol dalam semua pertandingan untuk City Liga Perdana.

Penyerang Inter Milan, Lautaro Martinez, yang menjaringkan 25 gol musim lalu dan telah memulakan musim ini dengan lapan jaringan (semua pertandingan), mengetuai serangan bersama Messi.

Penjaga gol Emiliano Martinez, salah seorang wira Argentina di Copa America tahun lalu juga akan membuat penampilan sulung Piala Dunia tahun ini.

Argentina turut menentang Mexico dan Poland dalam Kumpulan C. – AGENSI

SKUAD PIALA DUNIA ARGENTINA

PENJAGA GOL
Emiliano Martinez (Aston Villa), Franco Armani (River Plate) and Geronimo Rulli (Villarreal)

PERTAHANAN
Gonzalo Montiel (Sevilla), Nahuel Molina (Atletico Madrid), German Pezzella (Real Betis), Cristian Romero (Tottenham Hotspur), Nicolas Otamendi (Benfica), Lisandro Martinez (Manchester United), Juan Foyth (Villarreal), Nicolas Tagliafico (Olympique Lyonnais), Marcos Acuna (Sevilla)

TENGAH
Leandro Paredes (Juventus), Guido Rodriguez (Real Betis), Enzo Fernandez (Benfica), Rodrigo De Paul (Atletico Madrid), Exequiel Palacios (Bayer Leverkusen), Alejandro Gomez (Sevilla), Alexis Mac Allister (Brighton & Hove Albion)

SERANGAN
Paulo Dybala (AS Roma), Lionel Messi (Paris Saint Germain), Angel Di Maria (Juventus), Nicolas Gonzalez (Fiorentina), Joaquin Correa (Inter Milan), Lautaro Martinez (Inter Milan), Julian Alvarez (Manchester City).

The post Messi ketuai Argentina, Dybala dibawa ke Qatar biarpun cedera appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *