TELUK INTAN: MIC yakin mampu bangkit semula sekali gus mencipta kejutan dengan memenangi sekurang-kurangnya lima kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bekas Presiden MIC, Tan Sri S. Subramaniam berkata, peluang parti itu diyakini cerah selepas melihat perubahan sokongan pengundi kepada Barisan Nasional (BN) berbanding pilihan raya lalu.

“Kalau dibandingkan dengan PRU14, kita boleh nampak sokongan lebih tinggi dan saya mempunyai keyakinan besar yang kita akan menang lebih banyak kerusi kali ini.

“Pada PRU14, kita menang dua kerusi Parlimen, kali ini ada harapan boleh menang sekurang-kurangnya empat ke lima kerusi. Jika nasib baik, jumlah kerusi mungkin bertambah lagi,” katanya selepas bertemu masyarakat India di pejabat penyelaras Parlimen Teluk Intan di sini hari ini.

Menurut bekas Menteri Kesihatan itu, pengundi kaum India akan membuat pilihan bijak pada 19 November ini dengan memilih parti yang lebih berkredibiliti bagi membawa suara dan menyelesaikan permasalahan mereka.

Pada masa sama, beliau mengingatkan jentera parti supaya bekerja keras untuk menarik antara 20 hingga 30 peratus pengundi Cina mengundi parti tersebut.

“Kita boleh nampak sokongan daripada masyarakat India beralih di mana sebilangan besarnya tidak berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberi oleh parti yang menang pada tahun 2018.

“Kadang-kadang, apa yang dijanji itu tidak dikota. Perkara-perkara itu sudah jadi satu isu dalam kalangan pengundi. Jadi, kali ini saya fikir kita akan mendapat sokongan yang lebih baik,” katanya.

Pada PRU14, MIC bertanding di sembilan kerusi Parlimen iaitu Sungai Siput dan Tapah di Perak; Sungai Buloh, Hulu Selangor, Kapar dan Kota Raja (Selangor), Port Dickson (Negeri Sembilan), Segamat (Johor) dan Cameron Highlands (Pahang).

Parti itu hanya memenangi dua kerusi iaitu di Parlimen Tapah dan Cameron Highlands.

Bagaimanapun, Mahkamah Pilihan Raya memutuskan kemenangan BN di kerusi Parlimen Cameron Highlands tidak sah dan terbatal selepas terbukti wujud amalan rasuah.

Kerusi Cameron Highlands kemudian diberikan kepada UMNO untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil pada 2019 yang menyaksikan BN menerusi wakilnya, Ramli Mohd. Nor berjaya menang di kerusi berkenaan. – UTUSAN

The post MIC yakin bangkit, menang sekurang-kurangnya lima kerusi appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *