PETALING JAYA: Belum pun ­berakhir saingan Piala Malaysia, spekulasi perpindahan pemain mula menjadi perdebatan dalam kalangan peminat.

Ditambah pula dengan ke­gagalan Sarawak United dan Melaka United mendapatkan lesen beraksi musim depan menyaksikan limpahan pemain yang sedia ditandata­ngani.

Belum lagi dengan keputusan Petaling Jaya City (PJ City) tidak beraksi musim depan yang pastinya membuatkan pemain mereka memburu ­pasukan baharu.

Pemain sayap Terengganu FC, Faisal Halim paling menjadi buruan, namun Selangor FC dikatakan berada di petak No. 1 untuk mendapatkan tonggak kebangsaan itu.

Kehadiran Tan Cheng Hoe sebagai pengendali Red Giants menjadi faktor yang mampu menarik Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey menyertai pasukan.

Faisal, 24, yang tamat kontrak hujung tahun ini belum memberi jawapan kepada Terengganu FC yang sudah menawarkan kontrak baharu.

 

KHUZAIMI Piee (kanan) turut dikaitkan dengan perpindahan ke Selangor.

Selain Selangor, Kedah Darul Aman, Kuala Lumpur City serta Sri Pahang turut mengintai pemain lincah Sang Penyu, namun desas desus mengatakan ‘King of Malaya mungkin menjadi pilihan Faisal.

Selain Faisal, Selangor yang berwajah baharu dan tampak lebih mantap di bawah bimbingan Cheng Hoe turut dikaitkan dengan pertahanan kental Ne­geri Sembilan, Khuzaimi Piee, 29.

Sementara itu, keputusan PJ City tidak beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan menyaksikan pemain mereka terpaksa mencari majikan baharu.

Dalam kelompok pemain tempatan, Darren Lok berada selangkah di hadapan apabila penjaring terbanyak tempatan dalam Liga Super itu akan menyertai Sabah FC.

DARREN LOK

Tindakan isterinya yang memuat naik ke Instgram mengenai penghijrahan ke Kota Kinabalu musim depan menguatkan spekulasi penyerang Harimau Malaya ini akan bekerjasama dengan Datuk Ong Kim Swee.

Penjaga gol PJ City, Kalamullah Al-Hafizdikhabarkan bakal dipancing jurulatih Negeri Sembilan, K. Devan selepas Ahmad Syihan Nazmi mungkin me­nyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) serta Kedah Darul Aman.

S. Kumaahran (Sabah FC) dan pemain berpengalaman Mahali Jasuli pula dikaitkan dengan Negeri Sembilan FC.

The post Mickey menuju ke Selangor? appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *