BATU KAWAN: Syarikat peneraju dalam industri memori inovatif dan penyelesaian penyimpanan antarabangsa, Micron Technology Inc. yang berpangkalan di sini menjalin kerjasama dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) untuk membangunkan sebuah pusat jagaan kanak-kanak.

Pusat jagaan tersebut yang akan dibuka secara rasmi bulan depan dijangka boleh menempatkan sehingga 100 orang kanak-kanak berusia antara tiga hingga enam tahun pada satu-satu masa.

Difahamkan, ini kali pertama sebuah syarikat swasta dan kerajaan negeri menjalin kerjasama menubuhkan sebuah pusat jagaan kanak-kanak yang diuruskan oleh operator ternama dalam fasiliti pendidikan serta penjagaan awal kanak-kanak iaitu WhyteHouse Education Group.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Micron, Datuk Sanjay Mehrotra berkata, pusat jagaan kanak-kanak itu ditubuhkan bagi memberi sokongan tambahan terhadap kakitangan syarikat tersebut yang mempunyai anak.

Beliau berkata, pada masa sama, pihaknya berusaha mempromosikan persekitaran positif untuk ibu bapa yang bekerja sekali gus membina satu pasukan dalam kepelbagaian dengan lebih berkualiti.

“Kami sangat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan TalentCorp atas kerjasama menyediakan pusat jagaan berkualiti tinggi dan berpatutan untuk anak-anak kepada kakitangan yang bekerja di syarikat kami (Micron Batu Kawan),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran pusat jagaan tersebut di sini semalam, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Chong Eng dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Thomas Mathew.

Bagi Chong Eng, usaha Micron itu wajar dicontohi syarikat swasta lain dan menjadi model untuk pembangunan komuniti khususnya di Pulau Pinang.

“Sebelum ini, ibu-ibu yang bekerja mungkin terpaksa memilih antara keluarga dengan karier (kerana perlu menjaga anak). Namun, dengan adanya pusat jagaan kanak-kanak seperti ini, ia memudahkan mereka,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dalam satu rakaman video yang dipertontonkan pada majlis itu menganggap penubuhan pusat jagaan kanak-kanak tersebut membolehkan satu persekitaran yang lebih kondusif diwujudkan untuk pembangunan bakat dan sebarang penambahbaikan berkaitan.

Katanya, dalam hal ini, pendidikan awal kanak-kanak penting untuk mengasuh generasi masa depan mengenai pembelajaran sepanjang hayat. – UTUSAN

The post Micron bangunkan pusat jagaan kanak-kanak sokong ibu bapa bekerja appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *