SAUDARA PENGARANG,

RAKYAT didapati mempunyai minat untuk mengetahui perkembangan politik tanah air yang tinggi sejak akhir-akhir ini. Menurut kajian Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada September lalu, sebanyak 83 peratus rakyat menembusi media sosial bagi mendapatkan maklumat mengenai politik di negara ini.

Antara aplikasi popular adalah Facebook (52.1%), WhatsApp (10.1%) YouTube (9.4%) Twitter (8.3%) TikTok (6.9%) dan lain-lain.

Justeru, pemerintah perlu memanfaatkan kesemua saluran media sosial yang ada untuk melakukan hebahan mengenai maklumat politik dan dasar-dasar kerajaan serta penerangan isu-isu semasa. Selain itu, mereka perlu mempunyai akaun media sosial untuk melakukan interaksi (engagement) yang aktif dengan masyarakat secara umum terutama golongan muda.

Kerajaan juga perlu lebih telus dengan tidak campur tangan terhadap mana-mana kes mahkamah melibatkan pemimpin politik dan sesiapa jua selaras amalan pengasingan kuasa di negara ini sejak merdeka.

Imej pemerintah dapat ditingkatkan menerusi pelbagai aktiviti lebih mesra dengan masyarakat secara umum. Ini termasuk penglibatan mereka dalam aktiviti komunikasi komuniti, penampilan merendah diri yang lebih sesuai dan dekat dengan rakyat serta menonjolkan perkara-perkara positif.

Pemerintah disaran lebih giat melakukan sesi penerangan dan pencerahan mengenai komitmen dalam memastikan kerajaan adalah telus dan bersih daripada sebarang isu negatif.

Peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dijangka meningkat sebanyak 10 peratus berbanding sebelum ini. Ini adalah prasyarat bahawa rakyat mahukan perubahan kepada kepimpinan negara untuk membawa negara keluar dari krisis ekonomi, inflasi serta peningkatan kos sara hidup. Rakyat mahukan pendidikan, pekerjaan, rumah kediaman, sekuriti makanan dan keselamatan bagi melangsungkan kehidupan.

Rakyat mahukan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab membela nasib mereka, bukan sebuah parti yang ghairah membentuk kerajaan dan gagal menggunakan mandat diberikan oleh rakyat. Masa telah terbuang dan rakyat semakin mundur dan peratusan kemiskinan bertambah.

Rakyat secara umumnya cenderung untuk mengundi parti dan gabungan parti politik. Parti politik perlu meletakkan calon yang mempunyai reputasi baik dan bersih daripada isu mahkamah, rasuah, salah guna kuasa serta mementingkan kroni masingmasing dan kekayaan hanya dinikmati segelintir orang. Yang kaya terus kaya raya, yang miskin terus papa kedana.-UTUSAN

YOSRI ABU MAHSIN
Putrajaya

The post Minat rakyat pada politik kian meningkat appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *