ALOR SETAR: Ujian makmal Inductively Coupled Plasma Mass Spectrometry (ICPMS) oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) terhadap mineral yang dirampas di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik mendapati sludge cake berkenaan me­ngandungi unsur nadir bumi (REE).

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, bahan berkenaan dianggarkan berjumlah RM391,360 berdasarkan nilai pasaran RM35,257 per tan metrik setakat 30 September lalu.

“Perkara ini (kecurian) di­sedari 26 September lalu apabila lori membawa muatan REE ditahan polis di Sik. Bahan itu disita dan akan dilupuskan setelah mendapat kelulusan pihak berkuasa negeri (PBN).

“Jabatan Perhutanan Ne­geri Kedah (JPNK) telah mengambil tindakan dengan menghentikan aktiviti pengambilan REE secara haram di Kompartmen 12 Hutan Simpan Bukit Enggang dan memusnahkan peralatan yang digunakan untuk perlombongan REE,” katanya.

Muhammad Sanusi (Pas-Jeneri) menjawab pertanyaan lisan Datuk Johari Abdul (PKR-Gurun) berkaitan kecurian REE pada sidang Dewan Undangan Ne­geri (DUN) di Wisma Darul Aman di sini semalam.

Jelasnya, kompaun RM630,000 dikenakan terhadap individu bagi kesalahan menceroboh dan menjalankan aktiviti yang dilarang dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) dan kesalahan melombong REE tanpa kebenaran.

“JPNK mengemukakan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya dan mendapat arahan izin kompaun di bawah Seksyen 32(1), 47(1), 50(1), 81(1) (d), 81(1) (e) bagi kesalahan ceroboh dan menjalankan aktiviti itu yang meliputi kompaun berjumlah RM130,000.

“Bagi kesalahan melombong REE tanpa kebenaran, kompaun kepada pihak yang terlibat berjumlah RM500,000 dikenakan kerana melanggar Seksyen 426 (1) Kanun Tanah Negara (Akta 828). Kedua-dua kompaun telah dijelaskan pada 11 Oktober lalu,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa pertimbangan untuk me­ngenakan kompaun dan tidak dibawa ke mahkamah kera­na faktor kompaun maksimum yang dikenakan itu akan disa­lurkan kepada kerajaan negeri sebagai kerugian yang terpaksa ditanggung akibat kecurian itu. – UTUSAN

The post Mineral dirampas di Bukit Enggang disahkan nadir bumi appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *