SEPANG: Usaha penyelamatan ramai lagi warga Malaysia yang menjadi mangsa skim penipuan tawaran pekerjaan di Myanmar pada ketika ini semakin sukar dan amat bahaya.

Perkara berkenaan didedahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chon Siang yang mengakui misi selepas ini dijangka berdepan lebih banyak cabaran dan urusan pembebasan terpaksa ubah kepada lebih ‘personal’ terus dengan mereka berdasarkan maklumat perantara rundingan di Thailand.

Beliau yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini setelah mengiringi tiga mangsa yang berjaya diselamatkan itu bersyukur kerana kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar banyak membantu urusan dokumentasi perjalanan mangsa itu dengan kerjasama Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen.

“Cuma untuk berunding dengan sindiket, saya terpaksa guna cara sendiri tanpa G-to-G (kerajaan kepada kerajaan) kerana mereka angkuh tidak ikut undang-undang,” katanya.

Menyentuh misi dilakukan beliau, Chong Siang berkata, kumpulan sindiket itu dipercayai sudah membahagi KK Garden yang dijadikan hab operasi mereka kepada empat lokasi bagi menyukarkan tugas pembebasan mangsa yang boleh disorok kepada tempat berbeza apabila dapat dikesan pihak berkuasa Myanmar.

“Kami ada memohon bantuan askar Thailand di Maesot yang akan pergi masuk terus ke Myanmar bagi bebaskan mangsa dan hubungan dengan mereka amat baik,” jelas beliau.

Setakat ini ujar Chong Siang, sindiket difahamkan turut menukar strategi ‘pemasaran’ mereka dengan mewujudkan banyak aplikasi palsu untuk menipu pelanggan di Malaysia.

Mereka dikatakan mencipta pautan yang menawarkan banyak perkhidmatan komersial seperti sewa kereta, pembersihan kediaman, pembantu rumah dan haiwan peliharaan sekali gus mengingatkan rakyat Malaysia tidak cuba menekan pautan kerana mengakibatkan wang dalam akaun bank lesap sekelip mata. – UTUSAN

The post Misi selamat sukar, sindiket penipuan di Myanmar ubah taktik appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *