MELAKA: UMNO Bahagian Tangga Batu menerima dengan hati terbuka keputusan pucuk pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) meletakkan Naib Presiden MCA, Datuk Lim Ban Hong bertanding di kerusi Parlimen Tangga Batu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Bahagian, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, walaupun senarai nama calon BN akan diumumkan malam ini, namun, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi  meminta UMNO Bahagian Tangga Batu memberi laluan kepada calon MCA bertanding di kerusi tersebut.

Tegasnya, sebagai ahli parti, beliau akur dengan apa sahaja keputusan pucuk pimpinan tertinggi.

Malah, katanya, beliau tidak berkecil hati walaupun pada mula namanya antara yang disebut-sebut akan dicalonkan BN bertanding di Tangga Batu.

“Kerja keras yang dilakukan sejak BN tewas pada PRU-14 bukan dilakukan saya semata-mata, tetapi rakan-rakan kepemimpinan bahagian, kita bukan untuk meletakkan seseorang tetapi bekerja untuk parti kerana inilah semangat yang ada demi kebaikan BN itu sendiri.

“Kami di sini telah sepakat untuk menerima sebulat suara keputusan yang dibuat oleh BN apabila meletakkan calon MCA bertanding di Parlimen Tangga Batu.

“Sebagai ahli parti dan pendukung kepada BN, kami bersedia menerima siapa sahaja yang diarahkan oleh pucuk pimpinan untuk bertanding di sini dan seluruh jentera akan bekerja keras dan memastikan kemenangan BN,” katanya dalam sidang akhbar di Baitul Tariq, Klebang Permai di sini malam tadi.

Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan dengan ahli jawatankuasa bahagian, 70 ketua cawangan dan pengerusi pusat daerah mengundi (PDM) bagi memaklumkan keputusan tersebut.

Secara tradisi sebelum ini, MCA bertanding di kerusi Parlimen Alor Gajah dan Kota Melaka, bagaimanapun pada saat akhir BN memutuskan MCA berpindah ke Tangga Batu.

Mengulas lanjut, pada awalnya nama Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan dikatakan bertanding di Tangga Batu namun bertukar kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang itu lewat petang semalam.

“Saya menegaskan tidak ada PDM akan ditutup atau ahli parti memboikot ekoran keputusan BN meletakkan calon MCA bertanding di Tangga Batu.

“Isu boikot atau PDM ditutup tidak timbul kerana semangat ahli parti bekerja ke arah kemenangan. Kita nak menang cemerlang bukan sahaja di Tangga Batu tetapi juga di seluruh negara,” ujarnya. –UTUSAN

The post Mohamad Ali tak kecil hati, MCA sah tanding Tangga Batu appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *