ISKANDAR PUTERI: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi gagal mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat kepada timbalannya, Zaidi Japar.
Dalam persaingan tiga penjuru itu, Mohd. Puad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit meraih 302 undi, manakala Zaidi yang juga bekas Timbalan UMNO Bahagian Batu Pahat mendapat 401 undi dan seorang lagi pencabar, Johari Abd. Razak hanya memperoleh enam undi.
Mohd. Puad memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat sejak 2004.
Seramai 709 perwakilan mengundi dalam pemilihan yang berlangsung di Dewan Jubli Intan Batu Pahat, semalam.
Keputusan pemilihan UMNO Bahagian Batu Pahat itu adalah yang terakhir diumumkan petang tadi.
Dalam pada itu, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Samsolbari Jamali berkata, sebanyak 25 bahagian sudah selesai menjalani proses pemilihan.
Beliau berkata, pemilihan UMNO Bahagian Johor Bahru pula digantung selepas lebihan kertas undi berbanding perwakilan yang hadir dengan tarikh pemilihan semula akan diumumkan Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) Pusat.
“Sebanyak 11 Ketua Bahagian UMNO yang baharu dipilih, antaranya Batu Pahat (Zaidi), Pontian (Datuk Seri Ahmad Maslan), Tanjung Piai (Md. Israq Abdullah), Tebrau (Datuk Abdul Halim Sulaiman), Sembrong (Datuk Abdul Ghani Abdul Rashid) dan Simpang Renggam (Datuk Onn Hafiz Ghazi).
Ditanya mengenai kekalahan beberapa nama besar, termasuk Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad di Pontian, Samsolbari yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berkata, perkara itu adalah perkara biasa dalam pertandingan. – UTUSAN
The post Mohd. Puad tumbang di Batu Pahat appeared first on Utusan Malaysia.