MELAKA: Bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen memberi jaminan tidak akan melakukan sesuatu di luar dugaan atau mengganggu gugat dengan kehadirannya yang diterima semula keahlian oleh UMNO.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi yang dipengerusikan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah menerima permohonannya sebagai ahli berkuatkuasa 18 Mac 2023 iaitu selepas pemilihan parti berakhir.

Rabu lalu, Mesyuarat Pengurusan UMNO dipengerusikan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan telah meneliti permohonan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput itu sebelum diajukan kepada MKT yang bersidang malam tadi.

Mohd. Rafiq berkata, jika diterima menyertai semula mana-mana cawangan UMNO di Bahagian Tangga Batu, beliau berjanji akan akur dengan segala arahan kepemimpinan bahagian yang bakal dipilih bulan depan.

“Kehadiran saya hanya mahu meneruskan sisa-sisa perjuangan politik dan saya tidak mahu kehadiran saya dianggap menjadi duri dalam daging.

“Saya ikhlas menyertai UMNO semula dan saya beri jaminan tidak akan melakukan sesuatu yang melanggar etika parti dan akur dengan sebarang keputusan jika diterima menjadi ahli di mana-mana cawangan.

“Jutaan terima kasih diucapkan kepada Presiden, Timbalan Presiden; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh; Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan, ahli MKT dan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad kerana memberi peluang untuk saya kembali berjuang bersama UMNO,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd. Rafiq merupakan bekas Exco Pergerakan Pemuda UMNO yang sebelum ini digantung keahlian selama enam tahun oleh Lembaga Disiplin UMNO pada 2016 atas satu pertuduhan iaitu didapati menghasut dan merancang untuk melakukan sabotaj terhadap Presiden UMNO ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Idris Haron.

MOHD. RAFIQ Naizamohideen mengadakan sidang akhbar peletakan jawatannya dalam Bersatu di sebuah hotel di Pantai Puteri, Melaka sebelum PRU15. – UTUSAN/AMRAN MULUP

Tambah Mohd. Rafiq, dalam masa terdekat beliau akan mengadakan pertemuan dengan Mohamad Ali bagi membincangkan hasratnya menyertai UMNO Bahagian Tangga Batu atau sebaliknya.

Katanya, beliau sedar keputusan menyertai semula UMNO ketika ini adalah tidak popular dan mungkin tidak disenangi sesetengah pihak.

“Namun, saya yakin dan percaya, perjalanan karier politik saya yang penuh mencabar sejak dari awal penglibatan saya sehingga ke hari ini, termasuklah perjuangan saya semula bersama UMNO adalah ketentuan Allah.

“Saya sedar, kehadiran saya bukan ketika UMNO melalui zaman kegemilangannya seperti sebelum ini, sebaliknya UMNO melalui cabaran terhebat dalam sejarahnya kerana hanya berjaya memperolehi 26 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15),” jelasnya. – UTUSAN

The post Mohd. Rafiq kembali kepada UMNO appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *