KANGAR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri, Mohd. Shukri Ramli bakal dilantik sebagai Menteri Besar yang baharu susulan kemenangan gabungan tersebut dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di negeri ini.

Watikah pelantikan kepada Pesuruhjaya Pas negeri yang turut mengekalkan kemenangan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang itu dijangka diserahkan hari ini.

Mohd. Shukri, 66, yang sebelum ini merupakan seorang guru dari 1985 sehingga 2013 merupakan seorang pemimpin yang sangat dihormati berikutan sifatnya mesra dan berjiwa rakyat.

Kejayaan PN membentuk kerajaan negeri bakal menyaksikan wakil daripada Pas buat pertama kalinya akan memegang jawatan tersebut selepas lebih 60 tahun dikuasai kerajaan Barisan Nasional (BN).

Mohd. Shukri juga penyandang kerusi DUN Sanglang sejak tiga penggal.

Mengesahkan perkara itu, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, Mohd. Shukri adalah calon yang akan diketengahkan sebagai Menteri Besar.

Keputusan PRU15 semalam menyaksikan PN berjaya membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga setelah menguasai 14 daripada 15 kerusi DUN sekali gus menamatkan penguasaan lebih 60 tahun BN di Perlis.

Malah, PN juga menyapu bersih kesemua tiga kerusi Parlimen di negeri ini.

Gelombang PN itu juga berjaya menumbangkan Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man di kerusi DUN Bintong dengan majoriti 4,329 undi. – UTUSAN

The post Mohd. Shukri bakal MB baharu Perlis appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *