LAUSANNE: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memperkukuhkan lagi hubungan dengan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) apabila merangka beberapa agenda bersama badan antarabangsa itu.

Perkara itu dibincangkan ketika Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Dr. Thomas Bach yang berlangsung di Olympic House, Lausanne, Switzerland kelmarin.

Turut mengiringi Mohamad Norza, Penolong Setiausaha Agung MOM, Moira Tan Siew See dan Pengurus Besar, Fong Wan Hor.

Ini kunjungan pertamanya untuk bertemu Presiden IOC itu sejak beliau dilantik sebagai Presiden MOM keenam pada 2018.

Antara perkara yang dibincangkan adalah usaha MOM merancakkan Pergerakan Olimpik seperti permulaan Karnival Olimpik, hubungan dengan Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) negara lain, sambutan Hari Olimpik di seluruh dunia serta pembinaan Olympic House yang baharu di Kuala Lumpur.

“Saya sudah mengadakan satu perbincangan yang cukup positif bersama dengan Presiden serta Pengarah Besar IOC (Christophe De Kepper) serta beberapa individu senior dalam merancakkan lagi Nilai serta Pergerakan Olimpik di Malaysia,” jelas Norza.

Sementara itu, Bach mengakui, beliau tertarik dengan inisiatif serta pendekatan dinamik yang dilakukan Mohamad Norza, sekali gus menyatakan sokongan penuh kepada MOM dalam mempromosikan Pergerakan Olimpik di Malaysia.

“Antara misi paling penting IOC adalah untuk berikan bantuan serta sokongan kepada semua NOC. Sekiranya NOC kuat, ia mampu menggerakkan IOC untuk terus mengukuhkan Pergerakan Olimpik di peringkat global,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

The post MOM perkukuhkan hubungan dengan IOC appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *