PLATFORM kenderaan elektrik (EV) sudah mula menyusup ke dalam pasaran tempatan sama ada disedari atau tidak. Kehadiran kereta-kereta elektrik dari Eropah dilihat menerajui pasaran dunia sementara jenama-jenama Asia dari Jepun, Korea dan China sudah mula memperkenalkan model-model mereka untuk menyertai ‘perlumbaan’ ini.

Bagaimana pula dengan dunia dua roda? Sudah ada tempiasnya apabila kita sudah mula melihat penggunaan skuter-skuter kecil yang menggunakan bateri bagi tujuan rekreasi, selain pengenalan beberapa syarikat tempatan yang mula mempromosikan kewujudan model-model elektrik mereka yang akan berada di pasaran tidak lama lagi.

Keperluan penghasilan motosikal elektrik sepenuhnya ini sebagai menyambut seruan global menghijaukan bumi yang kini teruk dilanda oleh pembebasan gas karbon dioksida yang terhasil daripada kesan pembakaran enjin kenderaan. Malaysia juga tidak terlepas daripada ancaman ini dan pihak kerajaan sendiri menjanjikan sokongan dan bantuan terutamanya dari segi pengecualian cukai jalan, cukai import dan beberapa lagi faktor bantuan lain sebagai langkah menggalakkan lagi penjualan motosikal-motosikal elektrik sepenuhnya.

 

INFRASTRUKTUR

Secara realitinya, negara kita masih lagi mempunyai infrastruktur yang sangat lemah dari segi penyediaan tempat-tempat mengecas kenderaan elektrik kerana ia memerlukan dua jenis pengecasan iaitu outlet yang menggunakan pengecas pantas arus terus (DC) atau arus ulang alik (AC). 

Selain itu, caj pengecasan yang dilihat masih lagi tidak seragam serta pusat pengecasannya juga masih belum menyeluruh di luar bandar-bandar besar. Kompleks membeli-belah yang besar dan utama juga turut menyediakan beberapa outlet pengecasan di ruang parkir mereka, namun ia khas untuk kereta EV sahaja buat masa ini.  Mengecas motosikal elektrik di rumah sudah tentu menjadi pilihan utama namun apakah impak keperluan ini pada kos bil elektrik kepada orang awam?

 

MODEL MOTOSIKAL EV

Pada 2020 sebelum dunia dilanda Covid, Harley-Davidson sudah memperkenalkan motosikal model LIVEWIRE namun sehingga kini, belum terjumpa lagi model tersebut atas jalan raya tempatan. Tidak pasti sama ada kerana harganya yang mencecah RM123,260 ketika itu, atau pun produksinya tergendala akibat pendemik.

YAMAHA E01

Yamaha E01

Diperkenalkan kepada orang awam ketika acara Genblue Yamaha di Teluk Batik, Perak pada Ogos 2022. Saiznya yang hampir sama dengan saiz Yamaha Nmax 155, dikatakan menggunakan bateri lithium-ion 4.9 kWh yang berada kekal dalam casis motor. Kebolehan untuk menjana 8.1kw pada kadar 5,000rpm dan 30.2Nm kuasa tork pada kadar 1,950rpm dan mampu mencecah perjalanan sehingga 104km.

BLUESHARK

Blueshark R1

Menjenamakan model mereka ini sebagai skuter elektrik yang paling canggih dalam pasaran. Blueshark R1 ini didatangkan dengan motor 5kw yang mampu menghasilkan kuasa tork 201nm di samping berkebolehan mecapai kelajuan tertinggi iaitu 80km/j. Blueshark R1 ini juga berkebolehan mencecah kelajuan 0 ke 50km/j dalam 4.9 saat serta memberi pilihan enam jenis mod penunggangan.

Bagi yang menginginkan perasaan kekuatan pecutan, mod Turbo Racing mampu menghasilkan lonjakan yang ketara dan ini disebabkan Blueshark ini mempunyai dua bateri sekali gus sekiranya diperlukan untuk penghasilan kuasa maksimum. Terlanjur kita menceritakan tentang bateri skuter elektrik ini, setiap motosikal dibekalkan dengan dua bateri yang seberat 12 kg setiap satu dengan kapasiti 1440W. Berbekalkan dua bateri ini, skuter ini mampu mencapai jarak antara 110 km ke 160 km tertakluk kepada berat yang ditanggung atau kelajuan yang diambil.

Tempoh pengecasan skuter Blueshark R1 ini dikatakan mengambil masa dua jam setengah untuk mencapai tahap 0 hingga 80 peratus atau tiga jam setengah untuk terus mengecas bateri sehingga kapasiti maksimum. 

Namun, satu infrastruktur yang turut disediakan oleh syarikat pengeluar Blueshark ini ternyata sangat unik apabila memperkenalkan sistem pertukaran bateri. Anda hanya perlu mencari mesin layan diri yang kini terdapat di empat stesen Petronas terpilih dan memasukkan bateri anda yang telah hampir kehabisan kuasa itu seterusnya menggantikan dengan unit bateri yang baharu. 

BMW CE04

BMW CE04

BMW tidak asing lagi dengan penghasilan kenderaan elektrik dan kini telah menghasilkan motosikal elektrik untuk pasaran global. Malaysia telah diperlihatkan jentera elektrik ini pada 10 Januari lalu dalam perlancaran serentak dengan model-model konvensional BMW yang lain beserta dengan model Mini Cooper elektrik sepenuhnya.

Reka bentuknya yang sangat futuristik tetapi masih mengekalkan imej sebuah skuter, dikatakan mampu dicaj dari 0 hingga 80 peratus pada tempoh masa 65 minit.

CE04 ini dikatakan mampu mencapai lebih kurang 129 km dengan 100 peratus kuasa bateri dan mampu mendapat kelajuan tertinggi sebanyak 120km/j. Harga pasaran hanya akan diumumkan pada Mac 2023 nanti dan dijangkakan bakal mencecah RM60,000 seunit.

TAILG BOLD

TailG Bold & TailG Torq 

Sebuah lagi motosikal elektrik sepenuhnya yang bakal diperkenalkan pada pasaran tempatan pada 18 Januari ini adalah daripada jenama TailG Bold. Model ini yang turut mempamerkan kuasa 35Nm dan 1500W daripada motornya turut menjanjikan prestasi kelajuan maksimum sebanyak 70km/j dan mampu mencapai sejauh 120 km dengan hanya sekali caj.

TAILG TORQ

Juga berkonsepkan sebuah skuter dan diimport dari negara China oleh sebuah syarikat tempatan Ni Hsin EV Tech Sdn. Bhd. yang juga turut memperkenalkan sebuah lagi skuter elektrik TailG Torq yang mampu mencapai kelajuan sehingga 90km/j dan mencapai jarak sejauh 200km dengan hanya sekali caj.

 

KESIMPULAN

Kehadiran motosikal elektrik sepenuhnya ini dianggap sebagai satu peralihan teknologi yang tidak dapat dielakkan. Evolusi motosikal dari dua ke empat lejang, daripada penggunaan karburator sehinggalah penggunaan sistem suntikan bahan api, sistem kawalan elektronik dari CDI ke ECU, dari brek jenis mangkuk sehinggalah ke brek cakera lengkap dengan ABS.

Namun, hampir keseluruhan motosikal elektrik yang diperkenalkan ini mempamerkan konsep skuter. Seolah-olah konsep rekaan motosikal seperti sports, cruiser atau pun jenis adventure, tidak boleh dibuat untuk motosikal elektrik. Ini jelas menghadkan pilihan dan selera bakal pembelinya.

Evolusi motosikal yang beralih arah daripada penggunaan bahan api bakar ke penggunaan kuasa elektrik atas nama kemajuan diharap dapat bertindak sebagai satu langkah ke arah alam sekitar yang lebih bersih, perbelanjaan yang lebih rendah, serta mampu mengurangkan kemalangan dan malapetaka atas jalan raya tempatan. – UTUSAN

The post Motosikal elektrik bakal dapat sambutan? appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *