PORT DICKSON: Golongan peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) antara diberi bantuan sepanjang penganjuran Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2022 yang berlangsung di sini sejak 24 November lalu sehingga 30 November ini.

Pengarah Wilayah Selangor Negeri Sembilan Kumpulan Maybank, Abd. Razak Kamardin berkata, tumpuan kepada komuniti peniaga PKS itu selari dengan elemen kelestarian pada penganjuran MSAM 2022 kali ini yang bertemakan ‘Melestarikan Pelaburan Ke Arah Masa Hadapan Mampan’.

Katanya, ramai yang menyangka kelestarian tersebut hanya khusus kepada aspek alam sekitar namun kurang menyedari bahawa kelestarian daripada segi kewangan dan komuniti juga adalah sama penting.

“Keterangkuman kewangan adalah pesanan penting yang ingin kami sampaikan sepanjang MSAM 2022 ini.

“Sehubungan itu kami menjemput peniaga sekitar Port Dickson yang berdaftar bersama program Sama-Sama Lokal dan Reach Independence and Sustainable Entrepreneurship (RISE) Maybank menyertai kami semasa MSAM 2022 bagi mempromosikan perniagaan mereka kepada pengunjung serta peniaga-peniaga lain,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Abd. Razak berkata, Maybank menyedari PKS masih memerlukan bantuan walaupun selepas pembukaan ekonomi dan pasca pandemik Covid-19.

“Kami masih menawarkan program bantuan pembayaran balik dan penyelesaian yang membantu meningkatkan aliran tunai perniagaan. Bukan itu sahaja, kami juga telah memudahkan para pelanggan yang memerlukan modal kerja tambahan untuk memohon kemudahan kewangan dalam talian menerusi Maybank2u.

“Sebagai contoh, Pembiayaan Digital PKS kami, ia membolehkan pelanggan PKS memohon pembiayaan serendah RM3,000 dalam masa 10 minit sahaja,” katanya.

Sementara itu, katanya, Maybank pada MSAM 2022 ini menawarkan pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dengan ansuran bulanan berpatutan serendah RM48 sebulan.

Katanya, pengunjung yang mendaftar dengan tawaran berkenaan turut akan menerima hadiah kelalang termos dan lunch box selain berpeluang memenangi hadiah utama seperti barangan elektrik setiap hari.

Bagi pengunjung yang mendaftar bagi perlindungan insurans Takaful Etiqa, mereka juga berpeluang untuk memenangi motosikal BMW G310 GS ataupun telefon pintar, Samsung Galaxy S22+.

“Bagi memberikan sokongan kepada peniaga tempatan yang terlibat dalam MSAM 2022 ini, pihak Maybank turut memberikan kad promo MAE (MARMSAM2) dengan diskaun RM3 menerusi pembelian RM10 di MAE- Dan Selera.

“MSAM 2022 juga memberikan kemudahan kepada pengunjung termasuk membantu memberikan kawalan terhadap pengurusan kewangan masing-masing,” katanya. – UTUSAN

The post MSAM 2022: Maybank bantu peniaga PKS appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *