PORT DICKSON: Sempena penganjuran Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2022, pihak MNRB Holdings Berhad (MNRB) turut mengadakan Program MNRB Bijak Menabung yang bertujuan mendedahkan murid-murid sekolah kepada pengurusan wang dengan bijak.

MNRB dalam kenyataan memaklumkan, program tersebut diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Chuah di sini hari ini dengan murid-murid di sekolah tersebut mengikuti aktiviti permainan yang dinamakan sebagai ‘MNRB Ringgit Smart Squad’.

Katanya, permainan itu dimainkan secara berkumpulan di mana murid-murid perlu bekerjasama menjawab soalan serta membuat keputusan berkaitan tabiat perbelanjaan harian dan kepentingan menyimpan wang.

“Program ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab korporat MNRB yang bertujuan memberi dorongan kepada murid-murid untuk menanam budaya suka menabung dari usia muda.

“Pelbagai aktiviti yang berkaitan dengan aspek pengurusan wang telah disediakan menerusi program ini yang diadakan sempena MSAM 2022,” katanya.

Sebagai tanda sokongan kepada Permodalan Nasional Berhad (PNB) atas pelaksanaan MSAM 2022, MNRB juga mengambil inisiatif menyumbang unit Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) kepada semua murid di SK Chuah bagi menggalakkan mereka menyimpan wang dari usia muda.

“Di samping itu, MNRB melalui anak syarikat milik penuh, iaitu Takaful Ikhlas Family Berhad telah menyampaikan sumbangan berjumlah RM16,200 untuk menaik taraf surau dan pusat sumber kepada SK Chuah.

“Ini merupakan sumbangan daripada dana IKHLAS Barakah House yang bertujuan untuk menjana pembangunan dan kelestarian masyarakat yang positif,” jelas kenyataan itu. – UTUSAN

The post MSAM 2022: MNRB dedah asas pelaburan kepada murid sekolah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *