KUALA LUMPUR: Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi (MT) UMNO dijangka memperhalusi kedua-dua tawaran Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) sekali gus akan akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong agar Barisan Nasional (BN) menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pemuda BN, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Asyraf Wajdi berkata, pertemuan kepimpinan BN dan PN di Hotel St. Regis petang ini selaras dengan pendirian Dewan Tertinggi BN untuk bersikap terbuka.

Katanya, ini kerana Dewan Tertinggi BN menetapkan pendirian untuk bertemu dan berunding dengan dua parti gabungan terbesar PH dan PN bagi membincangkan mengenai Kerajaan Perpaduan.

“Dua hari lepas kepemimpinan PH hadir bertemu dengan kepemimpinan BN di Hotel Seri Pacific bagi membentangkan terma-terma dan tawaran mereka jika BN bersetuju membentuk Kerajaan Perpaduan bersama mereka.

“Kepimpinan PH lebih ‘gentleman’ dan beradab dengan membuat pertemuan secara rasmi dengan tujuh orang kepimpinan BN bagi menzahirkan hasrat untuk bekerjasama dengan kepimpinan BN.

“Sebaliknya, PN masih dengan perangai lama cuba buat ‘dealing’ secara senyap-senyap dan mencuri 10 Orang Ahli-Ahli Parlimen untuk tanda-tangan Surat Akuan Bersumpah (SD) menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, pertemuan dengan PN yang sepatutnya dijadualkan sejak dua hari lalu terpaksa ditunda beberapa kali. 

“Kononnya, PN sudah cukup ‘numbers’, bilangan Ahli-Ahli Parlimen yang menyokong perlantikan Tan Sri Muhyiddin Perdana Menteri.

“Hinggalah apabila 10 SD yang ditanda-tangani oleh Ahli-Ahli Parlimen BN ditarik balik atas arahan Dewan Tertinggi BN, barulah mereka menyatakan kesediaan untuk bertemu pada hari ini jam 3.30 petang. 

“Itupun selepas mereka dititah menghadap Yang di-Pertuan Agong kelmarin dan dimaklumkan secara rasmi bahawa Tan Sri (Muhyiddin) sudah tidak cukup bilangan SD yang menyokong,” katanya.

Dalam masa sama, Asyraf Wajdi mempersoal mengapakah PN begitu bongkak dan sombong untuk menolak titah nasihat Seri Paduka agar Kerajaan Perpaduan dibentuk. – UTUSAN

 

 

The post MT UMNO teliti tawaran PN, PH malam ini appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *