PETALING JAYA: Muafakat Nasional (MN) yang piagamnya ditandatangani pada 14 September 2019 kini boleh dianggap berkubur apabila Pas semalam memuktamadkan untuk bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Keputusan Pas itu sekali gus melanggar syarat yang ditetapkan oleh UMNO, iaitu parti ter­sebut perlu meninggalkan Ber­satu jika mereka mahu kekal bekerjasama dalam MN.

Walaupun para pemimpin Pas dan UMNO enggan meng­akui kenyataan itu, namun ke­putusan yang diumumkan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat me­nyaksikan pertembungan an­tara calon daripada kedua-dua parti itu pada PRU15.

“Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang diadakan pada hari ini (semalam) telah membuat keputusan memperkukuhkan kerjasama dalam PN untuk menghadapi PRU15, atas prinsip penyatuan ummah.

“Pas juga memuktamadkan perbincangan kerusi-kerusi di negeri dengan PN. Senarai calon daripada negeri perlu diangkat untuk penilaian Majlis Syura Ulama,” kata Abdul Hadi.

Kenyataan itu sekali gus memberi gambaran yang Pas telah ‘meninggalkan’ Muafakat Nasional (MN) yang selama ini didukung bersama UMNO.

Pendirian Pas itu telah dijangka banyak pihak ekoran kegagalan parti Islam tersebut memenuhi tiga syarat yang ditetapkan UMNO sekiranya ingin bekerjasama dengan mereka pada PRU15.

Syarat tersebut adalah Pas perlu keluar daripada gabungan PN serta memutuskan hubu­ngan politik dengan Bersatu.

Selain itu, Pas juga perlu mengisytiharkan secara rasmi bahawa parti itu sudah mufa­rakah’ (berpisah) sepenuhnya dengan PN dan Bersatu sekiranya mahu bekerjasam dengan UMNO.

Mengulas perkara itu, Pre­siden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam ke­nyataan turut berkata, UMNO tidak pernah menutup pintu kepada sebarang usaha murni ke arah penyatuan ummah yang berteraskan nilai keikhlasan dan kejujuran meskipun Pas memutuskan untuk bersama dengan PN bagi menghadapi PRU15.

Sejajar keputusan tersebut, UMNO bersama Barisan Nasional (BN) akan terus bergerak solo dengan mengekalkan imej parti yang sentiasa berpaksikan kesederhanaan dan mampu menawarkan kestabilan serta kemakmuran kepada rakyat yang berbilang kaum dan agama dalam negara ini.

“Keputusan Pas Pusat untuk terus bersama dengan Perikatan Nasional bagi menghadapi PRU15 sudah dijangkakan.

“Hakikatnya, UMNO tidak pernah menutup pintu kepada sebarang usaha murni ke arah penyatuan ummah yang berteraskan nilai keikhlasan dan kejujuran,” katanya dalam kenyataan semalam.

Piagam MN dimeterai UMNO dan Pas antara lain bersetuju membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, MN adalah platform penyatuan ummah Melayu-Islam dan ia bukannya satu parti politik yang mempunyai kepentingan tertentu

Beliau menegaskan UMNO tidak pernah sesekali menutup pintu agenda Penyatuan Ummah dan ia perlu berlandaskan prinsip keikhlasan dan kejujuran.

“Keputusan Pas itu memang kita dah duga sebab mereka mahu meninggalkan MN. Bukan kami yang memutuskan, mereka yang memutuskan,” katanya. – UTUSAN

The post Muafakat Nasional berkubur appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *