PERMATANG PAUH: Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mat Jan menafikan menganjurkan program isi minyak percuma sempena meraikan kejayaannya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) seperti yang tular di media sosial hari ini.

Beliau yang menyifatkan perbuatan itu sebagai cubaan fitnah terhadapnya berkata, bukan begitu caranya untuk pihak lawan menyambut kekalahan mereka dalam pilihan raya umum kali ini.

“Tidak ada mana-mana arahan atau jadual yang ditetapkan untuk adanya (program) isi minyak percuma.

“Sedangkan Kerajaan Persekutuan pun sehingga kini masih kita tidak tahu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, tular dakwaan beliau akan menganjurkan program berkenaan di tiga stesen minyak di Kubang Semang, Permatang Pauh dan Bandar Perda bermula pukul 6 petang tadi.

Dalam pada itu, Muhammad Fawwaz yang juga Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang menasihatkan pihak terbabit untuk bertaubat dan kembali bertakwa kepada Allah SWT.

Tegasnya, anak muda tetap akan bersama mereka yang benar, malah turut mendoakan mereka yang membuat fitnah dan adu domba itu diberikan kesedaran.

Dalam keputusan PRU15 semalam, Muhammad Fawwaz mencipta kejutan merobohkan kubu kuat Pakatan Harapan (PH) selepas memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh dengan majoriti 5,272 undi.

Beliau mendapat 37,638 undi menewaskan penyandang, Nurul Izzah Anwar yang memperoleh 32,366 undi. – UTUSAN

The post Muhammad Fawwaz nafi anjur program isi petrol percuma appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *