MELAKA: Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis hari ini memohon maaf kepada syarikat konglomerat media dari Amerika Syarikat (AS), The Walt Disney Company (Disney) atas kekeliruan berhubung projek pembinaan taman tema Disneyland dan Disney City di Jasin dekat sini, menjelang 2027.

Menjelaskan perkara tersebut, beliau berkata, tiada sebarang perbincangan, memorandum persefahaman (MoU) atau memorandum perjanjian (MoA) diadakan dengan Disney, sebaliknya perkara tersebut adalah perancangan daripada Metrolink Sdn. Bhd. (Metrolink) dan bukannya kerajaan negeri.

Menurutnya, Metrolink telah menyatakan rancangan mereka untuk membawa Disney City ke Melaka dan beliau mewakili kerajaan negeri amat mengalu-alukan perkara tersebut.

MUHAMMAD JAILANI Khamis (kiri) dalam sidang akhbar khas di Pejabat Bahagian Promosi dan Pelancongan (BPP), Kota Cemerlang, Ayer Keroh, Melaka. – UTUSAN/AMRAN MULUP

“Jadi ini sebenarnya satu perancangan daripada syarikat itu. Kami tidak ada mengatakan bahawa sudah ada usaha ataupun persetujuan daripada segi MoU atau MoA dengan Disney.

“Justeru, saya ingin memohon maaf kepada pihak Disney atas salah tanggapan serta salah faham ini dan saya menyedari, Disney mempunyai reputasi yang sangat baik. Berlakunya kekeliruan ini tentang Disney City atau Disneyland, adalah perancangan syarikat terbabit dalam merancang untuk membina sistem tren Maglev dan kalau boleh ada satu spot untuk Disney masuk.

“Tapi kami tidak pernah mengatakan bahawa telah termeterai perjanjian ataupun mana-mana MoU dengan pihak Disney. Kami tidak pernah mengatakan perkara itu,” katanya dalam sidang akhbar khas di Pejabat Bahagian Promosi dan Pelancongan (BPP), Kota Cemerlang, Ayer Keroh di sini hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, hasrat rakyat negara ini untuk melihat Disneyland dibina di Malaysia musnah, selepas syarikat berpangkalan di AS itu dilaporkan menafikan penglibatan mereka dalam projek yang dikatakan bakal dibina di Jasin.

Naib Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali perlu bertindak memecat Muhammad Jailani.

Portal kerajaan negeri melaporkan, Melaka akan membangunkan Disneyland dan Disney City berkeluasan kira-kira 80.9 hektar, iaitu yang terbesar di Asia Tenggara. – UTUSAN

The post Muhammad Jailani mohon maaf kepada Disney appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *