LANGKAWI: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan tiada calon Perdana Menteri yang dikemukakan parti-parti lawan sesuai untuk memerintah negara selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Penyandang kerusi Parlimen Langkawi itu berkata, calon tersebut iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob daripada Barisan Nasional (BN) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Pakatan Harapan (PH).

“Tiga-tiga tak boleh (jadi Perdana Menteri). Satu penyangak, satu pengkhianat, satu lagi kata orang Melayu ini rasis. Tunggulah bila pilihan raya, siapa nak dapat. 

“Tapi saya berdoa janganlah dapat pada penyangak, penyamun. Rosaklah negara kita kalau kita pilih pencuri jadi kita punya ketua,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Kenduri Rakyat di Taman Nilam, di sini, malam tadi.

Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) yang juga calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bagi Parlimen Langkawi itu juga memberitahu, kenyataan yang menyebut orang Melayu bersifat perkauman itu adalah tidak berasas.

Sementara itu, beliau berkata, kenyataan kumpulan 70 profesor Melayu dikenali sebagai G70 yang menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri tidak melambangkan pendirian keseluruhan mereka yang memegang jawatan tersebut.

“Itu satu pasukan, pasukan lain tolak yang itu (mereka). Mereka tak bersetuju, mereka buat keputusan tanpa tanya orang-orang semua (profesor lain). Profesor lain itu pun tolak pendapat mereka,” ujarnya.

Kelmarin, kumpulan G70 menyatakan sokongan mereka kepada Presiden PKR berkenaan sebagai Perdana Menteri negara yang seterusnya adalah berdasarkan pengalaman dan kewibawaan Anwar.

Jurucakap Deklarasi Profesor Melayu G70, Profesor Datuk Dr. Ir. Wan Ramli Wan Daud berkata, Anwar satu-satunya tokoh yang mampu memimpin masyarakat majmuk berteraskan Islam sebagai agama Persekutuan, selain memulihkan reputasi negara di mata dunia.- UTUSAN

 

 

 

The post Muhyiddin, Ismail Sabri, Anwar tak layak jadi Perdana Menteri – Tun M appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *