SHAH ALAM: Ahli-ahli Parlimen yang memberi sokongan bagi pembentukan kerajaan tidak menyalahi Perlembagaan negara dan Akta Anti Lompat Parti.

Menegaskan perkara itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan kesemua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan Bebas itu hanya atas kapasiti individu dan bukannya keluar parti.

Jelas beliau, perkara itu bukan menjadi isu kerana ia tidak menghalang mana-mana individu untuk menyokongnya.

“Sokongan itu bukan semua dari BN, malah, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Bebas.

“Jika mengikut Perlembagaan, ia menyatakan ahli-ahli Parlimen dan tidak kata daripada parti mana. Secara individu boleh, kumpulan dan parti mereka boleh.

“Itu hak Ahli Parlimen dan tidak melanggar peruntukan Akta Anti Lompat Parti kerana mereka tidak keluar parti tetapi secara individu menyatakan sokongan kepada saya,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sebuah hotel di Glenmarie di sini, malam tadi.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan kesemua 29 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) kecuali Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi didakwa menandatangani Akuan Bersumpah (SD) bagi menyokong Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

SD itu dipercayai ditandatangani dengan diuruskan ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.

Ditanya mengenai kenyataan Ahmad Zahid mengenai BN tiada perundingan dengan PN untuk membentuk kerajaan, Muhyiddin berkata, ia hanya tafsiran dan pandangan peribadi.

“Kalau Perlembagaan negara kata seseorang yang ingin jadi Perdana Menteri mesti mendapatkan kepercayaan daripada majoriti ahli Parlimen dan kalau ikut istilahnya, 112 kerusi.

“Tidak sebutkan datang dari parti A, B atau C. Itu hanya tafsiran dan pandangan Zahid,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, mesyuarat khas malam tadi bertujuan memberi taklimat berkaitan keputusan pilihan raya dan pembentukan kerajaan baharu.

“Saya sudah keluarkan kenyataan dah jumpa Premier Sarawak dan Datuk Seri Hajiji mengenai persetujuan beri sokongan kepada Perikatan Nasional.

“Insya-Allah, esok saya akan dapat mengemukakan beberapa akuan bersumpah kepada mereka-mereka ini bahawa kita sudah mendapat jumlah ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan,” ujarnya.

Terdahulu, Muhyiddin menyifatkan beliau mendapatkan sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan beberapa ahli Dewan Rakyat untuk menjadi Perdana Menteri Ke-10.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkeyakinan akan memperoleh bilangan sokongan mencukupi daripada ahli-ahli Dewan Rakyat bagi membolehkan dilantik Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri seperti dikehendaki Perlembagaan Persekutuan. –UTUSAN

 

The post Muhyiddin jamin sokongan ahli Parlimen tidak langgar Perlembagaan, Akta Anti Lompat Parti appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *