KUANTAN: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa wujud persefahaman antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bekas Perdana Menteri yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mendakwa, persefahaman tersebut membabitkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Beliau mendakwa, menerusi persefahaman tersebut, sekiranya UMNO tidak mendapat sejumlah kerusi bagi membentuk kerajaan pada PRU15, maka penggabungan bakal dilakukan dengan PH. 

“Memang ada persefahaman yang sudah terjalin antara Ahmad Zahid dan Anwar supaya lepas pilihan raya ini, kalau UMNO tak dapat sejumlah kerusi yang mencukupi untuk bentuk kerajaan, maka dia akan ambil langkah untuk bergabung dengan parti PH dipimpin Anwar. 

“Siapa di belakang Pakatan Harapan? Anwar Ibrahim? Bukan? DAP? DAP ini saudara pun tahu bagaimana ideologi DAP yang terbentuk sekian lama, dia menolak hak istimewa orang Melayu, tidak mendokong perjuangan Islam sebagai agama Persekutuan, banyak (perkara) bercanggah dengan kepentingan rakyat, khususnya orang Melayu,” katanya ketika berucap pada siri jelajah PN Best di Balok di sini.

Pada 14 Oktober lalu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa, UMNO dan PKR sedang mengadakan rundingan sulit untuk bekerjasama bagi menghadapi PRU-15. 

Wan Saiful mendakwa, agenda kerjasama itu bagi meminimumkan pertembungan dalam pilihan raya umum nanti seterusnya mengusahakan pembentukan kerajaan secara bersama antara kedua-dua parti tersebut.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, jika kerjasama antara UMNO dan PH menjadi kenyataan, pastinya nasib rakyat akan dipertaruhkan.

“Kalau betul UMNO dan PH bergabung membentuk jajaran baharu, siapa akan lebih menguasai kerajaan? 

“UMNO atau PH? Saya bimbang kalau ini berlaku, maka apakah nasib kita semua pada masa akan datang,” dakwanya yang juga calon PN kerusi Parlimen Pagoh, Johor,” kata beliau.- UTUSAN

The post Muhyiddin terus dakwa BN-PH bekerjasama lepas PRU15 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *