ALOR SETAR: Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mempersoalkan bagaimana Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor boleh terkejut dan tidak perasan dengan kecurian unsur nadir bumi atau rare earth element (REE) yang dibuat dengan menggunakan lori bersaiz besar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakilinya. 

Menurut Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu, Muhammad Sanusi juga perlu menjawab beberapa persoalan berhubung perkara tersebut yang terus bermain di fikiran rakyat. 

Antara persoalan yang perlu dijawab katanya, adakah permit teroka yang diberikan kepada sebuah syarikat sebelum ini, telah ditukar kepada lesen melombong dan jika benar telah ditukar, berapakah hasil diperoleh kerajaan negeri?

“Kalau tiada lesen perlombongan pula, bagaimana lori-lori tersebut boleh membawa keluar REE dari Bukit Enggang? Jika kerajaan negeri tidak mendapat sebarang hasil daripada aktiviti itu, siapa yang dapat? 

“Selain itu, Muhammad Sanusi pernah menyatakan bahawa tiada sebatang pokok pun akan ditebang jika REE dilombong. Mengapa kini pokok-pokok di kawasan terkesan di Bukit Enggang tampak ditebang bersih,” soalnya dalam kenyataan di sini, hari ini. 

Tambahnya, Muhammad Sanusi pada masa sama pernah mengandaikan bahawa bahan mentah seperti REE perlu diproses serta ditambah nilai di pusat-pusat pemprosesan tempatan sebelum dieksport. 

“Malah pada Februari 2021, kerajaan Persekutuan melancarkan Pelan Transformasi Industri Mineral Negara antaranya bagi memastikan kekayaan mineral negara tidak dieksploitasi pihak luar. 

“Jadi adakah REE dari kawasan DUN Muhammad Sanusi itu diproses serta dinilai tambah terlebih dulu dan di manakah kegiatan itu dilaksanakan? Kenapa tak buat di Jeneri atau di lokasi-lokasi lain dalam Kedah,” katanya. 

Tambah Mukhriz, persoalan juga timbul sama ada syarikat yang diberi permit teroka atau permit perlombongan itu benar-benar berpangkalan di Kuala Lumpur atau sebenarnya syarikat luar negara.

“Apakah dasar berkaitan penglibatan syarikat asing dalam kerja-kerja pengeluaran hasil bumi strategik milik negara seperti REE untuk dieksport, lebih-lebih lagi dalam bentuk bahan mentah?” soalnya. 

Mukhriz berkata, Muhammad Sanusi perlu menjawab kesemua soalan dikemukakan itu dan beliau yakin Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga sedang menantikan jawapan itu. –UTUSAN

The post Mukhriz persoal Sanusi isu nadir bumi appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *