PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin tidak melantik ramai golongan profesional dan teknokrat dalam barisan Kabinet kerajaan perpaduan disebabkan pengecilan jemaah menteri yang dijanjikannya.

Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Salawati Mat Basir berkata, Anwar juga perlu memberi jawatan kepada parti-parti komponen yang menyokongnya membentuk kerajaan perpaduan.

Beliau melihat kemungkinan golongan profesional, teknokrat dan ahli akademik bakal dilantik sebagai pemikir kepada kementerian.

“Pada saya mungkin tidak banyak atau mungkin tidak ada pun kerana beliau terpaksa memenangi hati parti-parti komponen yang membantunya membentuk kerajaan.

“Mungkin akan lebih kepada pemikir kepada kementerian atau dilantik khusus membantu dan hendak kata meramaikan golongan ini saya rasa beliau tidak akan buat macam itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas mengenai keperluan melantik golongan berkenaan dalam jemaah menteri, Salawati berkata, beliau tidak melihat itu sebagai satu masalah sekiranya individu dilantik berkelayakan.

“Kalau memang ada kepakaran dan dia mampu menjawat jawatan itu dengan kepakaran dan pemahaman terhadap pentadbiran negara tiada masalah, terpulang kepada Perdana Menteri,” katanya.

Sementara itu, Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Jeniri Amir berharap Anwar tidak membelakangi golongan profesional dan teknokrat dalam barisan Kabinet beliau.

Jelasnya, meskipun saiz Kabinet dikecilkan, Anwar perlu melantik golongan profesional dan teknokrat bagi memastikan beliau mempunyai barisan menteri dan kerajaan yang kukuh.

“Anwar tidak harus hanya mengambil kira pemimpin parti politik atau wakil rakyat yang berada dalam kerajaan perpaduan tetapi juga perlu mengambil kira secara serius tokoh yang cemerlang dalam bidang berkaitan seperti, ekonomi, kewangan dan pendidikan.

“Saya fikir hanya dengan itu nanti kita akan dapat pastikan bahwa Kabinet ini dipandang tinggi oleh rakyat dan juga punya reputasi dan imej yang baik di mata dunia,” katanya.

Jeniri turut berkata, sekiranya Anwar tunduk kepada tuntutan parti atau gabungan dengan mengikut formula berasaskan kuota parti secara tegar, akan berlaku ketiadaan ruang menampilkan bakat golongan profesional dan teknokrat.

“Untuk jawatan tertentu perlu ada tokoh yang betul-betul memahami bidang berkaitan dan kita lihat sebelum ini ada orang tidak berpengalaman menjadi liabiliti kepada kerajaan sehingga mencemarkan nama baik kerajaan.

“Bukan saja kerana mereka tidak punya kearifan dan pengalaman tapi juga tercemar dari segi imej dan tindak tanduk dasar kenyataan mereka,” katanya. – UTUSAN

 

The post Mungkin tak ramai atau tiada profesional, teknokrat dalam barisan Kabinet appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *