KEMAMAN: Kelakuan seorang murid lelaki tahun tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Ibok, di sini bersama dengan semua gurunya sebelum pulang ke rumah semalam, seolah-olah memberi petunjuk dia akan pergi buat selama-lamanya.

Murid tersebut, Muhammad Aman A. Suhimi selepas itu ditemukan lemas kira-kira dua jam selepas pulang dari sekolah.

Bapanya, A. Suhimi Salleh, 58, berkata, Muhammad Aman yang merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik itu juga sangat teruja untuk menghadiri kejohanan sukan di sekolah itu, pagi semalam. 

“Masa hendak pulang dari sekolah, dia bersalam semua guru termasuk guru besar. Tak sangka itu kali terakhir dia akan bersalam dengan guru-gurunya,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Muhammad Aman ditemukan lemas ketika mandi bersama dua rakannya di kawasan alur sungai, berhampiran ladang sawit di Kampung Batu 9, Ibok, kira-kira pukul 5 petang semalam.

Pengawal keselamatan itu berkata, anaknya juga turut meminta dia dan isteri, Norzaniah Ismail, 51, menemaninya ke sekolah untuk menyertai kejohanan sukan. 

“Dua tiga hari sebelum itu, dia pujuk saya dan isteri untuk temankan dia. Semalam, bila kami teman dia, memang dia sangat gembira dan sangat bersungguh-sungguh sertai aktiviti larian. 

“Isteri sempat tangkap gambar kenangan dia di sekolah dan dihantar dalam kumpulan WhatsApp keluarga,” katanya yang tidak dapat menahan sebak.

A. Suhimi berkata, anaknya keluar untuk bermain bersama rakan-rakannya kira-kira pukul 3 petang selepas pulang dari sekolah.

“Ketika saya sedang berehat, salah seorang rakannya datang beritahu Aman jatuh dan lemas. Sebaik sampai di lokasi kejadian, saya nampak selipar dan lihat keadaan air sungai yang laju, memang saya fikir anak saya sudah tak ada,” katanya. 

Menurutnya, Muhammad Aman ditemukan penduduk kampung selepas rakan anaknya meminta bantuan. 

“Walaupun berat dan pahit untuk diterima, saya reda. Saya akan rindukan anak yang paling rapat dengan saya dan celotehnya yang sering menyenangkan hati kerana dia merupakan anak yang pandai ambil hati serta banyak bercakap,” katanya. – UTUSAN

The post Murid bersalam semua guru sebelum ditemukan lemas appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *