PETALING JAYA: Siri jelajah prihatin Perikatan Nasional (PN) di Tasek Gelugor, Pulau Pinang semalam cuba disabotaj dengan pelbagai cara termasuk menggunakan pihak berkuasa untuk menyekat aktiviti berkenaan.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan bagaimanapun berkata, pihaknya dapat menyelesaikan dan menggagalkan cubaan sabotaj itu hasil usaha yang dilakukan Pengarah Program Jelajah Tasek Gelugor, Azmi Alang.

“Alhamdulillah Jelajah Prihatin yang pertama di Tasek Gelugor menerima sambutan yang amat baik malam tadi. Lebih 4,000 orang awam hadir mendengar amanat para pemimpin PN untuk pengundi Tasek Gelugor.

“Jelas sekali ada sokongan yang tinggi kepada Perikatan Nasional di Tasek Gelugor. Musuh politik PN amat takut dengan program-program PN. Mereka cuba sabotaj Jelajah Prihatin Tasek Gelugor dengan pelbagai cara, termasuk cuba menggunakan pihak berkuasa.

“Tetapi alhamdulillah hasil usaha Pengarah Program dan Ketua Bahagian, Azmi Alang dan bantuan rakan-rakan dari PN, kita dapat selesaikan dan hadapi percubaan sabotaj itu,” katanya dalam kenyataan di laman Facebooknya.

Menurut Wan Saiful, percubaan sabotaj itu membuktikan musuh-musuh politik kini kehabisan modal untuk menyekat kemaraan PN.

“Kita telah tunjukkan kepada rakyat bahawa di bawah PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin benar-benar memberi fokus kepada kebajikan rakyat. Semua lapisan rakyat dapat bantuan. Kita utamakan rakyat, bukan mahu menyelamatkan diri sendiri sahaja.

“Saya yakin, dengan Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, tak kira siapa calon yang diletakkan Tasek Gelugor, wakil rakyat PN itu akan memastikan kebajikan rakyat. Saya tahu di Tasek Gelugor ramai pesawah. Masalah kenaikan harga baja dan racun hingga hari ini belum selesai.

“Di Bagan Ajam, komuniti nelayan menghadapi cabaran akibat pembangunan yang boleh merosakkan ekologi laut. Golongan muda ramai yang bekerja di sebelah pulau, atau di zon-zon industri di sekeliling Tasek Gelugor namun, pengangkutan awam kekal jadi masalah yang belum selesai hingga hari ini. Nak beli kereta, gaji pula tak cukup,” katanya.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, semua perkara itu memerlukan kerajaan yang prihatin, kerajaan yang cekap, dan kerajaan yang bersih untuk selesaikan, dan pastikan fokus kepada rakyat. 

“Bukan fokus kepada individu yang tergila-gilakan jawatan Perdana Menteri, dan bukan fokus kepada lari dari kes mahkamah.

“Hakikatnya, walaupun kita mungkin bertanding banyak penjuru, tapi pilihan yang baik, pilihan yang berintegriti, sebenarnya tidak banyak. Ada satu saja pilihan yang bersih dan ikhlas, iaitu PN. Pengundi perlu buat pilihan yang baik dan pilih PN,” katanya. – UTUSAN

The post Musuh cuba sabotaj Siri Jelajah PN appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *