ALOR SETAR: Keputusan analisis mineral disyaki unsur nadir bumi (REE) yang dicuri di Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik perlu didedahkan segera kepada umum untuk mengetahui jenis dan nilai kerugian yang ditanggung.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Penasihat Sahabat Alam Sik (SAS), Mohd. Sobri Ramlee berkata, tempoh 14 hari bekerja yang diperlukan untuk menganalisis bahan mineral tersebut oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sudah berlalu, namun sehingga kini masih tiada sebarang perkembangan.

Katanya, JMG Kedah, Perlis dan Pulau Pinang menerima sampel tersebut pada 30 September lalu bagi menguji dan mengesahkan unsur nadir bumi yang dicuri.

“Hampir sebulan pembongkaran kegiatan kecurian REE di Hutan Simpan Bukit Enggang dilaporkan. Ini telah meyakinkan penduduk sekitar dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengesyaki sesuatu tidak kena telah berlaku dalam isu ini.

“Tetapi sehingga ke hari ini tiada laporan atau kenyataan daripada pihak JMG mahupun kerajaan negeri berkenaan jenis unsur REE yang telah dicuri,” katanya di sini, semalam.

Pada 3 Oktober lalu, akhbar ini mendedahkan negara mungkin sudah kerugian mencecah angka bilion ringgit apabila hasil unsur nadir bumi di hutan simpan berkenaan disyaki dicuri pihak tertentu sejak dua tahun lalu.

Mineral tidak beradioaktif yang ditemukan di kawasan itu adalah sumber semula jadi bernilai tinggi yang boleh digunakan bagi pembuatan komponen peranti seperti telefon pintar, komputer riba dan barangan digital lain serta kereta elektrik, industri bateri, magnet berintensiti tinggi dan pembuatan kaca.

Kira-kira dua minggu kemudian, seorang lelaki yang melakukan kegiatan perlombongan haram mineral tersebut dikompaun RM130,000 Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) melibatkan kesalahan melakukan aktiviti dilarang dalam hutan simpan selain memasuki kawasan itu tanpa permit sah.

Justeru, Mohd. Sobri berkata, JPNK juga perlu mengambil serius berkenaan isu terbabit kerana nadir bumi tiada dalam Tafsiran Hasil Hutan, Akta Perhutanan Negara 1984 yang sepatutnya mereka melindungi mineral tersebut dan melaksanakan pemuliharaan hutan yang telah digondol di tapak kecurian.

“Malah, JPNK perlu bongkar keseluruhan kartel yang diyakini melibatkan organisasi dalam dan luar negara kerana kita telah kehilangan sesuatu yang bernilai begitu sahaja. Tindakan tegas wajib diambil terhadap pihak yang terlibat dan JPNK perlu sentiasa pantau setiap aktiviti yang diluluskan di hutan simpan.

“Kami juga berharap kerajaan negeri dapat bekerjasama dengan pihak Kastam Diraja Malaysia bagi menjejaki nadir bumi yang telah berjaya dicuri dan di bawa keluar ke luar negara.

“Persoalannya bagaimana REE ini dibawa keluar dari negara dan di mana ia di proses. Ini bagi memastikan tiada lagi kecurian nadir bumi bukan sahaja di Kedah tetapi tempat-tempat berpotensi lain dalam negara kita,” tegasnya. –UTUSAN

 

The post Nadir bumi: Apa hasil ujian makmal mineral di Bukit Enggang? appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *