KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) mengesahkan Mohd. Nafuzi Zain menolak tawaran lanjutan kontrak bagi mengetuai cabaran dalam Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC pada musim depan.

Pengendali TFC itu menolak tawaran lanjutan kontrak tersebut menerusi surat balas yang diserahkan, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Ab. Rasid Jusoh berkata, pihak pengurusan dan jawatankuasa teknikal pasukan itu akan meneliti calon ketua jurulatih baharu dari dalam dan luar negara yang telah menyatakan minat mengisi kerusi panas terbabit.

“Kami sudah menerima jawapan daripada beliau (Nafuzi) pada Isnin yang menyatakan tidak bersetuju untuk menyambung kontrak bersama TFC bagi saingan 2023.

“Namun tiada sebarang perubahan dibuat untuk baki saingan Piala Malaysia di mana beliau akan meneruskan sekurang-kurangnya dua perlawanan lagi iaitu aksi separuh akhir.

“Semestinya dengan ketiadaan ketua jurulatih, kita akan mencari pengganti beliau yang diharap mampu menyamai pencapaian dan keputusan yang diraih musim ini.

“Kami mahu berterima kasih kepada beliau yang telah menunjukkan hasil positif sejak 2016 ketika bersama skuad Piala Presiden T-Team,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ab. Rasid menjelaskan, ketua jurulatih baharu yang bakal dilantik tidak lama lagi perlu meneruskan kesinambungan yang dilakukan Nafuzi sejak tujuh tahun lalu.

“Liga M dijangka bermula lewat Februari atau awal Mac tahun depan dan sebelum tempoh itu TFC akan dilatih pengendali terbaik yang boleh memberikan hasil sama atau lebih baik lagi.

“Sudah ada ‘proposal’ daripada jurulatih asing dan tempatan untuk jawatan itu namun kita akan membuat penelitian terlebih dahulu sebelum memilih calon terbaik,” tambah beliau.- UTUSAN

The post Nafuzi, Terengganu sah berpisah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *